Tuesday, May 18, 2010

AKTA HALAL DIKUATKUASAKAN TAHUN DEPAN

DIPETIK DARIPADA FAIL ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 27/02/2010

Akta Halal dikuatkuasakan tahun depan

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Individu, peniaga serta pengusaha yang terbukti menyalahgunakan sijil halal atau mempamerkan sijil halal bukan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dikenakan tindakan selepas Akta Halal dikuatkuasakan mulai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, akta tersebut kini masih dalam proses penelitian dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, tujuan diperkenalkan adalah untuk memelihara kepentingan umat Islam yang selama ini sering terkeliru dengan isu halal khususnya berkaitan dengan logo halal dan penyediaan makanan halal.

"Akta ini bagi saya amat penting dalam usaha kita menjaga maslahah umat Islam kerana peruntukan sedia ada tidak memberi hak kepada pihak berkuasa mengambil tindakan dalam bentuk penguatkuasaan.

"Selepas ini jika terbukti ada pihak yang melanggar akta berkenaan mereka akan dikenakan mengikut peruntukan yang bakal ditetapkan kelak," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di Masjid Negara di sini hari ini.

Pelancaran majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ditanya mengenai bentuk tindakan atau hukuman yang akan dikenakan berdasarkan akta itu sama ada ia dalam bentuk penjara atau denda Jamil Khir berkata, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan.

"Untuk pengetahuan penyediaan akta ini turut melibatkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pejabat Peguam Negara.

"Kami bersama-sama merangka akta ini termasuk bentuk hukuman atau tindakan yang akan dikenakan terhadap pesalah. Setakat ini kami masih belum putuskan apakah bentuk hukuman yang sesuai," katanya.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, penguatkuasaan akta itu merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi kementeriannya.

"Kita mahu logo halal, penyediaan makanan halal, pembungkusan bahan makanan halal dan segala isu berkaitan halal dihormati oleh semua pihak dan atas faktor ini jugalah kerajaan akan memperkenalkan Akta Halal," katanya.

Terdahulu dalam ucapan semasa majlis pelancaran kempen itu beliau berkata, berdasarkan kajian oleh HighBeam Research pada tahun 2007, nilai pasaran makanan halal ialah AS$150 bilion (RM510 bilion) dan dijangka meningkat kepada AS$500 bilion (RM1.7 trilion) pada tahun 2010.

"Ini merujuk kepada prospek pengguna Muslim yang kini berjumlah 1.8 bilion dan meliputi 112 negara. Peningkatan ini, secara relatifnya adalah satu lonjakan yang sangat besar," katanya.


;) IMIZ

MAHKAMAH SYARIAH SETARAF MAHKAMAH SIVIL

DI PETIK DARIPADA FAIL ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 15/05/2010

Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil

PUTRAJAYA 14 Mei - Mahkamah Syariah akan terus dinaik taraf bagi memartabatkan undang-undang Islam dalam negara agar setaraf dengan mahkamah sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, antara langkah yang akan dipakai untuk memartabatkan institusi tersebut adalah dengan mengesyorkan penubuhan Majlis Rayuan Syariah, Mahkamah Tengah Syariah dan menaik taraf kedudukan Mahkamah Tinggi Syariah.

Selain itu, katanya, cadangan menubuhkan Perwujudan Perjawatan Berpusat, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri serta menaik taraf hakim-hakim mahkamah syariah adalah antara pendekatan terbaru untuk memartabatkan institusi tersebut.

"Cadangan-cadangan dalam kertas kerja ini adalah sesuai dengan keperluan keadaan sekarang yang begitu mendesak kerana ada kes-kes yang memerlukan rayuan terhadap mahkamah yang lebih tinggi.

"Cadangan penubuhan juga amat wajar dan bertepatan dengan situasi sekarang, buat masa ini kita hanya ada tiga tingkat mahkamah syariah kita iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Objektif utama persidangan adalah untuk membincang, membahas dan mendapatkan pandangan mengenai undang-undang atau kaedah-kaedah yang berkaitan dengan hal ehwal Islam serta isu-isu penting yang berbangkit.

Jamil Khir berkata, bersempena dengan persidangan tersebut, Peguam Negara dijemput untuk memberi penerangan mengenai konsep menaik taraf Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, konsep baru Mahkamah Syariah yang dicadangkan itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diberi kelulusan.

"Sekiranya Majlis Raja-Raja memperkenankan cadangan itu, Mahkamah Syariah akan memasuki suatu lembaran baru dalam sejarah penubuhannya di mana tarafnya hampir sama dengan mahkamah sivil," katanya.

Beliau memberitahu peningkatan martabat Mahkamah Syariah memang diperlukan seiring dengan perkembangan industri perbankan Islam dalam konteks ekonomi dan halal yang kini sedang berkembang.

Mengenai isu halal, beliau berkata, pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan dibuat untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang cukup sensitif itu.

"Pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Persidangan Parlimen pada Jun depan.

"Apabila diluluskan nanti, segala permasalahan yang timbul berkaitan dengan soal halal seperti masalah pengisytiharan sendiri halal oleh pihak yang tidak berkuasa akan dapat diselesaikan," katanya.

IKUT JAIS HARAMKAN LOGO HALAL SWASTA

DIPETIK DARIPADA FAIL ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 11/03/2010

Ikut JAIS haramkan logo halal swasta

Oleh NOR SEDEK ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


ISU logo halal
bukan perkara baru tetapi ia juga bukan perkara yang boleh dianggap remeh lebih-lebih lagi bagi umat Islam kerana kebersihan makanan amat penting dalam melahirkan insan berpekerti mulia.

Selama ini sudah sering kali diingatkan kepada masyarakat bahawa hanya logo halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja diiktiraf bahawa sumber makanan dihidangkan adalah bersih mengikut agama Islam.

Namun terdapat peruntukan dalam Akta Perihal Dagangan 1972 yang menyatakan syarikat-syarikat swasta juga boleh bertindak sebagai ejen untuk mengeluarkan sjil logo halal menyebabkan terdapat pelbagai bentuk sijil halal dilekatkan di premis-premis makanan.

Kelonggaran itu menjadikan masyarakat mudah keliru lebih-lebih lagi kebanyakan gerai medan selera di pusat-pusat membeli belah menampal logo halal yang diperoleh dari syarikat swasta kerana ia senang diperoleh berbanding proses yang terpaksa dilalui jika memohon daripada Jakim.

Namun tindakan JAIS mengharamkan penggunaan logo halal swasta di Selangor pada minggu lalu dilihat satu tindakan yang bijak dan tepat masanya dalam memastikan umat Islam khasnya dapat menikmati hidangan halal mengikut ajaran agama Islam.

Malah masyarakat bukan Islam juga sepatutnya berterima kasih dengan ketegasan tersebut kerana apabila sesuatu kedai mendapat sijil halal Jakim atau JAIS, bermakna premis itu mematuhi tahap kebersihan ditetapkan dari peringkat dapur hingga ke ruang jamuan dan lebih penting lagi sumber makanan dan mininum juga halal.

Arahan itu juga bermakna JAIS adalah jabatan agama negeri yang pertama tidak mengiktiraf logo halal swasta yang berkuasa kuasa pada 5 Februari lalu kerana penggunaannya lebih banyak menimbulkan pencanggahan tentang isu halal demi menarik perhatian pelanggan-pelanggan Islam.

Kegagalan mematuhi arahan itu, pihak- pihak yang didapati bersalah sama ada syarikat swasta atau pengusaha kedai makan boleh didakwa mengikut Seksyen 12(b) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sekali pandang tindakan JAIS agak keras kerana para peniaga berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim.

Tetapi sebenarnya, arahan itu tidak mengejutkan kerana itulah karekter JAIS yang tidak berkompromi dalam menegak dan memperkukuhkan syiar Islam di Selangor.

Berpaksikan pegangan itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi sentiasa meletakkan kepentingan umat Islam mendahului segalanya kerana tanggungjawab yang dipikul terlalu besar walaupun sering kali menerima kritikan termasuk daripada ahli-ahli politik.

Setakat ini selain hebahan media dan penerangan dari masa ke masa, hanya penguatkuasaan yang dapat membantu umat Islam mematuhi ajaran agama suci itu sebaik mungkin.

Tindakan JAIS memecat seorang imam di Masjid Subang Jaya pada tahun lalu juga satu lagi bukti jangan langgar arahan bahawa masjid bukan tempat berpolitik. Apabila ada tindakan sedemikian ia menjadi contoh dan teladan kepada pihak lain bahawa kesucian agama Islam jangan cuba dicemari dengan eleman-eleman untuk memecah belahkan umatnya.

Rakyat Selangor harusnya berasa bangga dengan peranan yang dimainkan oleh JAIS serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana dunia semakin bebas menyebabkan jika tiada badan pemantau anasir luar yang sentiasa mencari peluang untuk melemahkan umat Islam lebih mudah berbuat demikian.

Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Selangor.