Friday, June 18, 2010

JIHAD KUASAI INDUSTRI HALAL

Penulis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). Layari www.businessjihad.com


Jihad kuasai industri halal


Artikel bertarikh: 2010/03/04


BARU-BARU ini, saya diundang menyampaikan ceramah di Seminar Halalan Toyyiban di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Seminar anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu salah satu pengisian di dalam Kempen 1Malaysia 1Halal bertujuan meningkatkan kesedaran dan keprihatinan pengguna terhadap sijil dan logo halal Malaysia yang dikeluarkan Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.
Antara lain seminar itu bertujuan menjelaskan prosedur dan keperluan Sijil Halal Malaysia serta memanfaatkan geran dan insentif yang disediakan oleh kerajaan dalam pembangunan industri halal. Ia juga mampu dijadikan platform kepada peserta seminar meneroka peluang bisnes dalam industri halal dengan mewujudkan peluang pasaran dan memberi khidmat nasihat kepada usahawan dalam klinik usahawan untuk menyelesaikan isu berkaitan industri halal.


Saya menyampaikan kertas kerja bertajuk “Bisnes Halal Satu Jihad” kerana sedar pentingnya umat Islam sama-sama terbabit dalam bidang ini. Sempena Maulidur Rasul, saya juga menarik perhatian peserta seminar terhadap hakikat betapa bisnes adalah satu sunnah, dengan mengambil contoh Rasulullah sebagai seorang ahli bisnes amanah dan berjaya sebelum menjadi Rasul.


Kegagalan menjadikan bisnes sembilan persepuluh sumber kehidupan menyebabkan umat Islam terus tercicir. Demikian juga kegagalan menghayati dan merealisasikan seruan Islam agar menjadi umat ‘alyadul ulya’ iaitu ‘tangan di atas’ atau ‘tangan memberi’ yang lebih mulia kedudukannya daripada ‘tangan di bawah’ dan ‘tangan yang meminta-minta’. Bisnes halal cukup luas pengertiannya dalam konteks kehidupan hari ini. Pengarang The Halal Journal, Kamarul Aznam Kamaruzaman mentakrifkan logo halal sebagai ‘bukan setakat menjamin produk tidak mengandungi apa yang telah Allah haramkan, ia mesti menjadi tanda bukti produk berkenaan dikeluar oleh syarikat yang berbisnes mengikut cara yang penuh etika dan berakhlak.’

Di situ jelas menunjukkan makanan halal tidak lagi hanya terhad kepada aspek penyembelihan dan isu bersandarkan ramuan serta kandungan yang dicampurkan dalam makanan. Ia merangkumi aspek lain yang terbabit dalam faktor pengeluaran makanan itu. Saya mengambil ayam goreng sebagai contoh. Selama ini kita hanya menitik beratkan isu sama ada ayam disembelih dan bagaimana ia disembelih. Namun, kita terlupa dengan aspek lain seperti dari mana ayam itu datang, bagaimana ia dibela, makanan apa yang diberikan, lori untuk mengangkutnya dari ladang (apakah pernah digunakan untuk membawa khinzir), bekas dan minyak untuk menggorengnya dan kebersihan pengendalinya.


Aspek ini andai dikupas memakan masa panjang namun, ia menjadi tanggungjawab kita untuk memastikannya makanan halal yang dimakan akan memberikan kesan kepada kebersihan rohani dan jasmani kita, menjadi darah daging kita dan anak cucu kita.


Peningkatan sensitiviti masyarakat terhadap aspek halal juga membuatkan pengusaha dan pengeluar berlumba-lumba memastikan produk masing-masing terjamin kualitinya, halal dan terus diterima pengguna. Sebenarnya, isu halal membabitkan banyak aspek lain lebih meluas.


Untuk menuju ke arah itu, kumpulan syarikat JCorp telah memperjuangkan Jihad Bisnes yang kini dijadikan gagasan perjuangan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan menjadi salah satu resolusi di Kongres Ekonomi Islam Ke-3 pada 2009. Paling penting ialah anjuran supaya semua ahli bisnes dan korporat Muslim menjadikan usaha bisnes sebagai perjuangan memartabatkan Islam dan umatnya.


Saya juga mengingatkan masyarakat selaku pengguna boleh memainkan peranan menjayakan perjuangan Jihad Bisnes ini. Sebagai pengguna, kita berkuasa menggunakan setiap ringgit yang dibelanjakan setiap hari umpama undi dalam menentukan kuasa politik.


Telah tiba masanya masyarakat mengambil berat penggunaan kuasa ekonomi yang ada di tangan mereka untuk memartabatkan halal, menegakkan syariat Islam, amar makruf dan nahi mungkar menerusi Jihad Bisnes. Salah satu faktor menyumbang kepada masalah dihadapi umat Islam dalam isu halal ialah kerana kita terlalu bergantung kepada penguatkuasaan pihak berkuasa tanpa mengambil inisiatif tambahan memastikan syarat pensijilan halal dipatuhi di semua peringkat operasi secara konsisten. Ini jika tidak ditangani segera akan menjejaskan reputasi dan integriti Sijil Halal Malaysia dan kewibawaan Malaysia sebagai peneraju industri halal global.


Kerana itu, kumpulan JCorp menubuhkan Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal pada 2007 di syarikat kumpulannya yang terbabit dalam industri makanan iaitu KFC Holdings (Malaysia) Bhd meliputi bisnes restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Kemboja. Langkah ini diambil untuk memastikan integriti halal semua produknya dapat dipertahankan dan tidak diragui.


Tugas dan tanggungjawab utama jabatan berkenaan adalah untuk memantau dan mengaudit bagi menentukan semua bahan, sistem pemprosesan dan pengeluaran produk makanan ini mematuhi syarat halal dan aspek pematuhan syariah sebagaimana ditetapkan tanpa menunggu pemeriksaan pihak berkuasa.

Jabatan ini mempunyai pekerja terlatih dalam sistem pengauditan halal. Malah, dipercayai KFC Holdings (Malaysia) Bhd adalah syarikat pertama yang menubuhkan jabatan seumpama ini sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna kepada produknya termasuk Pizza Hut, Rasamas dan Ayamas di negara ini.


KFC Holdings (Malaysia) Bhd juga melantik kalangan profesional dan cendekiawan agama termasuk beberapa orang bekas mufti dalam Majlis Penasihat Syariahnya. Fungsi Majlis Penasihat Syariah ini ialah sebagai penasihat kepada pengurusan demi memastikan operasi yang dijalankannya sentiasa memenuhi keperluan syarak.


Perjuangan jihad bisnes juga tidak akan sempurna selagi ia tidak dijadikan teras perjuangan untuk menjayakan cita-cita memperkasa ekonomi umat sehingga menjadi ‘khaira ummah’ atau umat terbaik dan khalifah dalam bidang ekonomi. Status khaira ummah dan khalifah ekonomi juga tidak akan tercapai selagi umat Islam berlarutan gagal dalam usaha merebut peluang memanfaatkan halal yang harus dimulakan dalam industri makanan yang malangnya kini terus didominasi dan dikuasai bukan Muslim. Kini lebih 80 peratus makanan halal yang diguna oleh umat Islam dibekalkan oleh bukan Islam. Syarikat gergasi korporat antarabangsa atau Multinational Corporation (MNC) adalah pemain utama dan sumber pergantungan kita untuk sebahagian besar makanan halal. Dengan demikian, umat Islam Malaysia perlu merancang strategi bisnes jangka panjang untuk mengatasi cabaran ini. Saya menganjurkan supaya disusun strategi yang menggabung tenaga, kerjasama dan persepakatan antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama korporat Muslim dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menjayakan rancangan ini. Ia boleh dimulakan dengan langkah korporat Muslim serta GLC mendampingi PKS Muslim untuk menjayakan program membina usahawan PKS berjaya sehingga ke peringkat lebih tinggi. Semua ini boleh dilakukan menerusi kaedah pasaran dan bisnes tanpa membebankan kerajaan dan menggunakan sumber cukai.


Justeru, sudah sampai masanya untuk kita bangkit berjihad demi menghalalkan sistem ekonomi daripada terus didominasi golongan yang menolak konsep halal haram dan dosa pahala. Walaupun saya percaya bahawa penguatkuasaan piawaian halal begitu penting bagi menjamin produk yang dimakan halalan toyyiban (halal lagi baik), kita tidak harus hanya bergantung semata-mata kepada agensi terbabit untuk menguatkuasakan piawaian ini. Salah satu langkah yang perlu diambil ialah menggalakkan semua syarikat besar makanan mengambil inisiatif menubuhkan Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal sendiri di syarikat masing-masing bagi memastikan setiap operasi yang dijalankan selari dengan nilai Islam dan berlandaskan hukum syarak.

FAHAMI KONSEP HALAL

Dipetik daripada Berita Harian


Fahami konsep halal


Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Artikel bertarikh: 2009/12/30


PERKATAAN 'halal' membawa erti cara hidup orang Islam yang menitikberatkan toyibban iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan yang sihat serta 'halalan'.

PERKATAAN 'halal' membawa erti cara hidup orang Islam yang menitikberatkan toyibban iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan yang sihat serta 'halalan'.

Islam dengan jelas memerintahkan umatnya mengambil sesuatu yang halal dan meninggalkan yang haram berdasarkan firman Allah dan sabda Rasulullah s.a.w seperti dalam Surah Al-Baqarah Ayat 172 yang bermaksud: "Wahai orang beriman, makanlah makanan halal yang Kami kurniakan kepada kamu".

Pasaran produk halal bukan saja terhad kepada negara Islam dan penduduk Muslim malah penerimaan terhadap barangan dan perkhidmatan halal kini semakin meluas di kalangan masyarakat bukan Islam.

Ini berikutan peningkatan kesedaran terhadap produk halal yang sinonim dengan produk yang selamat, berkhasiat, bersih dan suci.

Justeru, peluang yang meluas untuk pasaran produk halal seharusnya direbut usahawan, terutama di kalangan usahawan Muslim dengan permintaan produk halal yang tinggi di seluruh dunia. Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Pahang, Abu Samah Shabudin, berkata perkara yang menyedihkan apabila ramai pengeluar makanan halal datang dari negara bukan Islam.

Logo halal Hong Kong bantu pelancong Muslim

Dipetik daripada Berita Harian

Logo halal Hong Kong bantu pelancong Muslim


Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Artikel bertarikh: 2010/06/12

Pengunaan sijil elak kekeliruan, bantu kenal pasti restoran sedia makanan ikut hukum syarak


JIKA Malaysia ingin menggubal Akta Halal supaya hanya ada satu saja logo halal Logo halal Hong Kong bantu pelancong Muslim
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2010/06/12
Pengunaan sijil elak kekeliruan, bantu kenal pasti restoran sedia makanan ikut hukum syarak

JIKA Malaysia ingin menggubal Akta Halal supaya hanya ada satu saja logo halal
diiktiraf kerajaan yang dibenarkan digunakan di negara ini, Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong juga sedang berusaha untuk menggubal akta sama seperti yang dilakukan di Malaysia. Bagaimanapun, bukan mudah untuk menggubal undang-undang halal, sebaliknya perlu melalui pelbagai prosedur seperti meminta kelulusan kerajaan Hong Kong supaya menetapkan peraturan hanya satu logo halal yang dikeluarkan Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong diiktiraf untuk digunakan di sana.

Logo halal Hong Kong bantu pelancong Muslim
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
2010/06/12
Pengunaan sijil elak kekeliruan, bantu kenal pasti restoran sedia makanan ikut hukum syarak

JIKA Malaysia ingin menggubal Akta Halal supaya hanya ada satu saja logo halal
diiktiraf kerajaan yang dibenarkan digunakan di negara ini, Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong juga sedang berusaha untuk menggubal akta sama seperti yang dilakukan di Malaysia. Bagaimanapun, bukan mudah untuk menggubal undang-undang halal, sebaliknya perlu melalui pelbagai prosedur seperti meminta kelulusan kerajaan Hong Kong supaya menetapkan peraturan hanya satu logo halal yang dikeluarkan Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong diiktiraf untuk digunakan di sana.

Mufti Hong Kong, Muhammad Arshad, berkata kini terdapat kedai makan dan restoran di Hong Kong yang mempamerkan perkataan ‘Makanan Halal’ di premis mereka tanpa logo dikeluarkan Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong.

Beliau berkata, ada sebahagian daripada restoran berkenaan sebenarnya tidak halal dan ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang Islam terutama pelancong Islam yang datang ke Hong Kong kerana menyangka kedai makan atau restoran terbabit menjual makanan halal.

“Ada restoran menulis ‘Makanan Halal’ tetapi sebenarnya tidak halal. Mereka sangka makanan halal itu tidak ada babi. Jadi, kita terpaksa menjelaskan perkara sebenar kerana halal bagi umat Islam merangkumi pelbagai aspek.
“Sebab itu amat penting ada satu logo halal yang diiktiraf kerajaan dan kita sudah kemukakan permohonan kepada kerajaan Hong Kong. Apabila diluluskan nanti, hanya logo halal Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong saja yang laku dan diiktiraf,” katanya pada pertemuan eksklusif dengan Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau dijemput khas untuk memberi penjelasan mengenai perkembangan Islam di Hong Kong kepada agensi pelancongan di negara ini pada majlis anjuran Uni Asia Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Hong Kong.

Muhammad berkata, setakat ini 50 syarikat, kedai makan, kafe dan restoran di Hong Kong sudah mendapat pensijilan dan logo halal Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong.

Daripada jumlah itu, 25 adalah pengusaha makanan halal yang sebahagiannya bukan Islam manakala selebihnya syarikat pengeluar bahan kimia, pewarna, rempah dan pengeksport produk yang memerlukan pengesahan halal bagi memasuki pasaran di negara lain.

Pensijilan halal di Hong Kong sudah bermula lebih 10 tahun lalu tetapi sehingga 2005, hanya tiga restoran memohon pensijilan dan logo halal. Keadaan itu mungkin disebabkan jumlah umat Islam di negara terbabit tidak sampai satu peratus.

Namun, dengan peningkatan jumlah pelancong Islam yang datang ke Hong Kong setiap tahun, industri makanan halal mula berkembang pesat hasil inisiatif pengusaha kedai makan dan restoran negara itu bagi memenuhi keperluan pelancong Islam.

Muhammad berkata, tidak timbul isu sijil atau logo halal palsu
di Hong Kong kerana sebagai komuniti kecil, umat Islam di sana saling mengenali antara satu sama lain dan jika ada berita mengenai salah laku, perkara itu akan tersebar dengan cepat.

Katanya, selain pemeriksaan dilakukan ketika proses memohon logo halal, pihak bertanggungjawab melakukan pemeriksaan mengejut bagi memastikan pengusaha tidak melanggar peraturan ditetapkan.

Jika didapati pengusaha melanggar peraturan, Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong akan menarik balik sijil dan logo. Nama syarikat, kedai makan atau restoran berkenaan akan diumumkan pada waktu solat Jumaat di semua masjid.

“Komuniti Islam di Hong Kong kecil dan ini kelebihannya kerana berita tersebar pantas. Lagipun kita hanya ada lima keluarga tukang sembelih, jadi jika penyembelih kata restoran berkenaan tidak mengambil daging daripada mereka, kita tahu dia menipu.

“Sijil yang dibatalkan, kita akan hebahkan perkara itu termasuk memaklumkan kepada Lembaga Pelancongan Hong Kong. Ada dua restoran yang melanggar peraturan dan kita hebahkan, perniagaan mereka terjejas teruk,” katanya.

Selain mengeluarkan sijil dan logo halal, Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong yang menggabungkan empat pertubuhan Islam turut bertanggungjawab menguruskan dua tanah perkuburan dan empat masjid di Hong Kong.

Empat pertubuhan itu ialah Kesatuan Islam Hong Kong (IU), Persatuan Muslim Pakistan, Persatuan India Muslim dan Persatuan Dawoodi Bohrah. Persatuan ini juga bertanggungjawab melantik imam di empat masjid di Hong Kong.

Masjid menjadi tarikan utama pelancong Islam di Hong Kong terutama masjid tertua iaitu Masjid Jamia di Shelly Street yang dibina pada 1849. Masjid lain ialah Masjid Chaiwan, Masjid Ammar, dan Masjid Kowloon.

Sebuah masjid lagi ialah Masjid Stanley, terletak dalam Penjara Stanley tetapi ia adalah masjid yang dibina kerajaan dan tidak ditadbir oleh Perbadanan Pemegang Amanah Dana Masyarakat Islam di Hong Kong.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Selatan dan Asia Tenggara Lembaga Pelancongan Hong Kong, David Leung, berkata cabaran sekarang ialah bagaimana menggalakkan pengusaha kedai makan dan restoran milik orang Islam di Hong Kong memohon sijil serta logo halal yang diiktiraf.

Katanya, keadaan agak sukar kerana pada pemikiran pemilik restoran beragama Islam, mereka tidak perlu mendapatkan sijil dan logo halal kerana sudah semestinya mereka menyedia dan menjual makanan yang halal.

“Saya tidak salahkan pandangan mereka kerana apabila kita menyaran mendapatkan logo halal seolah-olah kita mempersoalkan sama ada dia Islam atau tidak. Tetapi sebenarnya logo halal perlu sebagai tarikan terutama kepada pelancong.

“Tanpa logo halal, pelancong tidak tahu sama ada restoran itu adalah restoran Muslim dan logo halal juga adalah sebagai jaminan kepada pelanggan untuk tidak berasa ragu. Pengusaha perlu sedar Hong Kong bukan negara Islam, maka penggunaan sijil dan logo halal amat perlu,” katanya.

Beliau berkata, Lembaga Pelancongan Hong Kong menganjurkan program khusus memperkenalkan tarikan pelancongan di Hong Kong termasuk maklumat mengenai perkembangan Islam kepada agensi pelancongan di negara ini sejak lima tahun lalu.

Penambahan jumlah pelancong dari Malaysia yang kebanyakannya orang Islam mendorong Lembaga Pelancongan Hong Kong berusaha memenuhi keperluan mereka termasuk kebimbangan mendapatkan makanan halal.

Pelancong yang ingin ke Hong Kong boleh mendapatkan pelbagai maklumat terkini mengenai senarai restoran makanan halal, masjid dan lokasi yang menjadi tarikan pelancong di laman web Lembaga Pelancongan Hong Kong

;) imiz

WHF tangani isu integriti halal

WHF tangani isu integriti halal

Dipetik daripada Berita Harian
oleh: Zuraidah Mohamed

Artikel bertarikh: 2010/05/29

Fokus kerjasama agensi kerajaan, badan Islam

FORUM Halal Sedunia (WHF) 2010 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Jun ini, akan memfokuskan pelan tindakan menyeluruh bagi menangani pelbagai isu kritikal dalam industri halal, khususnya integriti halal.

Sehubungan itu, forum yang masuk kali kelima dianjurkan itu akan lebih menumpukan kerjasama antara agensi kerajaan, badan Islam dan peserta industri menerusi cadangan pelan pembangunan halal menyeluruh.

Timbalan Pengerusi WHF 2010, Jumaatun Azmi, berkata forum bertemakan ‘Situasi Terkini Industri Halal: Akses Pasaran dan Perdagangan’ akan menjadi hala tuju perbincangan lebih 1,000 delegasi dari 50 negara sepanjang forum itu.
“Dalam tempoh sedekad ini, kita melihat industri halal Malaysia dan juga global berkembang pesat dengan pelbagai isu dibangkitkan, termasuk memastikan integriti halal terus dipelihara.

“Penganjuran WHF kali ini akan lebih realistik bagi memastikan pembangunan menyeluruh industri halal dapat dilaksanakan, berbeza sebelum ini yang lebih terutama kepada isu berkaitan demografik,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengarah Urusan KasehDia Sdn Bhd, turut mencadangkan supaya Malaysia mewujudkan satu pelan induk bagi setiap sektor yang terbabit dalam industri halal.

Katanya, ia merangkumi pelbagai aspek termasuk keperluan integriti halal, pensijilan, piawaian dan keperluan syarak, yang dalam tempoh jangka panjang mungkin boleh dijadikan panduan oleh negara lain.

“Meskipun Malaysia masih jauh ketinggalan untuk bersaing dengan pengeluar makanan halal terbesar dunia seperti Argentina dan Brazil, negara ini berupaya mencapainya menerusi pelaksanaan strategi perdagangan, pemprosesan, logistik dan hab halal global,” katanya.

Jumaatun menambah, bagi mempercepatkan pembangunan industri halal tempatan, peserta industri perlu merebut peluang dengan terbabit secara aktif dalam sektor terbabit menerusi produk makanan dan perkhidmatan halal.

Ketika ini, pasaran makanan halal Malaysia dianggarkan bernilai AS$8.2 bilion dan dijangkakan mencecah AS$8.6 bilion tahun ini. Pasaran makanan global pula dianggarkan bernilai AS$D634.6 bilion dan dijangkakan meningkat kepada AS$661.6 bilion tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata WHF 2010 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu akan menyaksikan beberapa pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), termasuk dalam teknologi halal.

Buat kali pertama WHF 2010 juga akan menganjurkan beberapa siri bengkel berkaitan halal merangkumi pemasaran Islam, bioteknologi pertanian dalam konteks Islam dan pasaran halal global, serantau dan Asia Barat

;)imiz

Tuesday, May 18, 2010

AKTA HALAL DIKUATKUASAKAN TAHUN DEPAN

DIPETIK DARIPADA FAIL ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 27/02/2010

Akta Halal dikuatkuasakan tahun depan

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Individu, peniaga serta pengusaha yang terbukti menyalahgunakan sijil halal atau mempamerkan sijil halal bukan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dikenakan tindakan selepas Akta Halal dikuatkuasakan mulai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, akta tersebut kini masih dalam proses penelitian dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, tujuan diperkenalkan adalah untuk memelihara kepentingan umat Islam yang selama ini sering terkeliru dengan isu halal khususnya berkaitan dengan logo halal dan penyediaan makanan halal.

"Akta ini bagi saya amat penting dalam usaha kita menjaga maslahah umat Islam kerana peruntukan sedia ada tidak memberi hak kepada pihak berkuasa mengambil tindakan dalam bentuk penguatkuasaan.

"Selepas ini jika terbukti ada pihak yang melanggar akta berkenaan mereka akan dikenakan mengikut peruntukan yang bakal ditetapkan kelak," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di Masjid Negara di sini hari ini.

Pelancaran majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Sultan Kedah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ditanya mengenai bentuk tindakan atau hukuman yang akan dikenakan berdasarkan akta itu sama ada ia dalam bentuk penjara atau denda Jamil Khir berkata, perkara tersebut masih di peringkat perbincangan.

"Untuk pengetahuan penyediaan akta ini turut melibatkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pejabat Peguam Negara.

"Kami bersama-sama merangka akta ini termasuk bentuk hukuman atau tindakan yang akan dikenakan terhadap pesalah. Setakat ini kami masih belum putuskan apakah bentuk hukuman yang sesuai," katanya.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, penguatkuasaan akta itu merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi kementeriannya.

"Kita mahu logo halal, penyediaan makanan halal, pembungkusan bahan makanan halal dan segala isu berkaitan halal dihormati oleh semua pihak dan atas faktor ini jugalah kerajaan akan memperkenalkan Akta Halal," katanya.

Terdahulu dalam ucapan semasa majlis pelancaran kempen itu beliau berkata, berdasarkan kajian oleh HighBeam Research pada tahun 2007, nilai pasaran makanan halal ialah AS$150 bilion (RM510 bilion) dan dijangka meningkat kepada AS$500 bilion (RM1.7 trilion) pada tahun 2010.

"Ini merujuk kepada prospek pengguna Muslim yang kini berjumlah 1.8 bilion dan meliputi 112 negara. Peningkatan ini, secara relatifnya adalah satu lonjakan yang sangat besar," katanya.


;) IMIZ

MAHKAMAH SYARIAH SETARAF MAHKAMAH SIVIL

DI PETIK DARIPADA FAIL ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 15/05/2010

Mahkamah Syariah setaraf Mahkamah Sivil

PUTRAJAYA 14 Mei - Mahkamah Syariah akan terus dinaik taraf bagi memartabatkan undang-undang Islam dalam negara agar setaraf dengan mahkamah sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, antara langkah yang akan dipakai untuk memartabatkan institusi tersebut adalah dengan mengesyorkan penubuhan Majlis Rayuan Syariah, Mahkamah Tengah Syariah dan menaik taraf kedudukan Mahkamah Tinggi Syariah.

Selain itu, katanya, cadangan menubuhkan Perwujudan Perjawatan Berpusat, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri serta menaik taraf hakim-hakim mahkamah syariah adalah antara pendekatan terbaru untuk memartabatkan institusi tersebut.

"Cadangan-cadangan dalam kertas kerja ini adalah sesuai dengan keperluan keadaan sekarang yang begitu mendesak kerana ada kes-kes yang memerlukan rayuan terhadap mahkamah yang lebih tinggi.

"Cadangan penubuhan juga amat wajar dan bertepatan dengan situasi sekarang, buat masa ini kita hanya ada tiga tingkat mahkamah syariah kita iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Objektif utama persidangan adalah untuk membincang, membahas dan mendapatkan pandangan mengenai undang-undang atau kaedah-kaedah yang berkaitan dengan hal ehwal Islam serta isu-isu penting yang berbangkit.

Jamil Khir berkata, bersempena dengan persidangan tersebut, Peguam Negara dijemput untuk memberi penerangan mengenai konsep menaik taraf Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, konsep baru Mahkamah Syariah yang dicadangkan itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diberi kelulusan.

"Sekiranya Majlis Raja-Raja memperkenankan cadangan itu, Mahkamah Syariah akan memasuki suatu lembaran baru dalam sejarah penubuhannya di mana tarafnya hampir sama dengan mahkamah sivil," katanya.

Beliau memberitahu peningkatan martabat Mahkamah Syariah memang diperlukan seiring dengan perkembangan industri perbankan Islam dalam konteks ekonomi dan halal yang kini sedang berkembang.

Mengenai isu halal, beliau berkata, pindaan terhadap Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan dibuat untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang cukup sensitif itu.

"Pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Persidangan Parlimen pada Jun depan.

"Apabila diluluskan nanti, segala permasalahan yang timbul berkaitan dengan soal halal seperti masalah pengisytiharan sendiri halal oleh pihak yang tidak berkuasa akan dapat diselesaikan," katanya.

IKUT JAIS HARAMKAN LOGO HALAL SWASTA

DIPETIK DARIPADA FAIL ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 11/03/2010

Ikut JAIS haramkan logo halal swasta

Oleh NOR SEDEK ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


ISU logo halal
bukan perkara baru tetapi ia juga bukan perkara yang boleh dianggap remeh lebih-lebih lagi bagi umat Islam kerana kebersihan makanan amat penting dalam melahirkan insan berpekerti mulia.

Selama ini sudah sering kali diingatkan kepada masyarakat bahawa hanya logo halal dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja diiktiraf bahawa sumber makanan dihidangkan adalah bersih mengikut agama Islam.

Namun terdapat peruntukan dalam Akta Perihal Dagangan 1972 yang menyatakan syarikat-syarikat swasta juga boleh bertindak sebagai ejen untuk mengeluarkan sjil logo halal menyebabkan terdapat pelbagai bentuk sijil halal dilekatkan di premis-premis makanan.

Kelonggaran itu menjadikan masyarakat mudah keliru lebih-lebih lagi kebanyakan gerai medan selera di pusat-pusat membeli belah menampal logo halal yang diperoleh dari syarikat swasta kerana ia senang diperoleh berbanding proses yang terpaksa dilalui jika memohon daripada Jakim.

Namun tindakan JAIS mengharamkan penggunaan logo halal swasta di Selangor pada minggu lalu dilihat satu tindakan yang bijak dan tepat masanya dalam memastikan umat Islam khasnya dapat menikmati hidangan halal mengikut ajaran agama Islam.

Malah masyarakat bukan Islam juga sepatutnya berterima kasih dengan ketegasan tersebut kerana apabila sesuatu kedai mendapat sijil halal Jakim atau JAIS, bermakna premis itu mematuhi tahap kebersihan ditetapkan dari peringkat dapur hingga ke ruang jamuan dan lebih penting lagi sumber makanan dan mininum juga halal.

Arahan itu juga bermakna JAIS adalah jabatan agama negeri yang pertama tidak mengiktiraf logo halal swasta yang berkuasa kuasa pada 5 Februari lalu kerana penggunaannya lebih banyak menimbulkan pencanggahan tentang isu halal demi menarik perhatian pelanggan-pelanggan Islam.

Kegagalan mematuhi arahan itu, pihak- pihak yang didapati bersalah sama ada syarikat swasta atau pengusaha kedai makan boleh didakwa mengikut Seksyen 12(b) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sekali pandang tindakan JAIS agak keras kerana para peniaga berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim.

Tetapi sebenarnya, arahan itu tidak mengejutkan kerana itulah karekter JAIS yang tidak berkompromi dalam menegak dan memperkukuhkan syiar Islam di Selangor.

Berpaksikan pegangan itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi sentiasa meletakkan kepentingan umat Islam mendahului segalanya kerana tanggungjawab yang dipikul terlalu besar walaupun sering kali menerima kritikan termasuk daripada ahli-ahli politik.

Setakat ini selain hebahan media dan penerangan dari masa ke masa, hanya penguatkuasaan yang dapat membantu umat Islam mematuhi ajaran agama suci itu sebaik mungkin.

Tindakan JAIS memecat seorang imam di Masjid Subang Jaya pada tahun lalu juga satu lagi bukti jangan langgar arahan bahawa masjid bukan tempat berpolitik. Apabila ada tindakan sedemikian ia menjadi contoh dan teladan kepada pihak lain bahawa kesucian agama Islam jangan cuba dicemari dengan eleman-eleman untuk memecah belahkan umatnya.

Rakyat Selangor harusnya berasa bangga dengan peranan yang dimainkan oleh JAIS serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana dunia semakin bebas menyebabkan jika tiada badan pemantau anasir luar yang sentiasa mencari peluang untuk melemahkan umat Islam lebih mudah berbuat demikian.

Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Selangor.