Friday, June 18, 2010

WHF tangani isu integriti halal

WHF tangani isu integriti halal

Dipetik daripada Berita Harian
oleh: Zuraidah Mohamed

Artikel bertarikh: 2010/05/29

Fokus kerjasama agensi kerajaan, badan Islam

FORUM Halal Sedunia (WHF) 2010 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Jun ini, akan memfokuskan pelan tindakan menyeluruh bagi menangani pelbagai isu kritikal dalam industri halal, khususnya integriti halal.

Sehubungan itu, forum yang masuk kali kelima dianjurkan itu akan lebih menumpukan kerjasama antara agensi kerajaan, badan Islam dan peserta industri menerusi cadangan pelan pembangunan halal menyeluruh.

Timbalan Pengerusi WHF 2010, Jumaatun Azmi, berkata forum bertemakan ‘Situasi Terkini Industri Halal: Akses Pasaran dan Perdagangan’ akan menjadi hala tuju perbincangan lebih 1,000 delegasi dari 50 negara sepanjang forum itu.
“Dalam tempoh sedekad ini, kita melihat industri halal Malaysia dan juga global berkembang pesat dengan pelbagai isu dibangkitkan, termasuk memastikan integriti halal terus dipelihara.

“Penganjuran WHF kali ini akan lebih realistik bagi memastikan pembangunan menyeluruh industri halal dapat dilaksanakan, berbeza sebelum ini yang lebih terutama kepada isu berkaitan demografik,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengarah Urusan KasehDia Sdn Bhd, turut mencadangkan supaya Malaysia mewujudkan satu pelan induk bagi setiap sektor yang terbabit dalam industri halal.

Katanya, ia merangkumi pelbagai aspek termasuk keperluan integriti halal, pensijilan, piawaian dan keperluan syarak, yang dalam tempoh jangka panjang mungkin boleh dijadikan panduan oleh negara lain.

“Meskipun Malaysia masih jauh ketinggalan untuk bersaing dengan pengeluar makanan halal terbesar dunia seperti Argentina dan Brazil, negara ini berupaya mencapainya menerusi pelaksanaan strategi perdagangan, pemprosesan, logistik dan hab halal global,” katanya.

Jumaatun menambah, bagi mempercepatkan pembangunan industri halal tempatan, peserta industri perlu merebut peluang dengan terbabit secara aktif dalam sektor terbabit menerusi produk makanan dan perkhidmatan halal.

Ketika ini, pasaran makanan halal Malaysia dianggarkan bernilai AS$8.2 bilion dan dijangkakan mencecah AS$8.6 bilion tahun ini. Pasaran makanan global pula dianggarkan bernilai AS$D634.6 bilion dan dijangkakan meningkat kepada AS$661.6 bilion tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata WHF 2010 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu akan menyaksikan beberapa pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), termasuk dalam teknologi halal.

Buat kali pertama WHF 2010 juga akan menganjurkan beberapa siri bengkel berkaitan halal merangkumi pemasaran Islam, bioteknologi pertanian dalam konteks Islam dan pasaran halal global, serantau dan Asia Barat

;)imiz

No comments: