Friday, June 18, 2010

JIHAD KUASAI INDUSTRI HALAL

Penulis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). Layari www.businessjihad.com


Jihad kuasai industri halal


Artikel bertarikh: 2010/03/04


BARU-BARU ini, saya diundang menyampaikan ceramah di Seminar Halalan Toyyiban di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Seminar anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu salah satu pengisian di dalam Kempen 1Malaysia 1Halal bertujuan meningkatkan kesedaran dan keprihatinan pengguna terhadap sijil dan logo halal Malaysia yang dikeluarkan Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.
Antara lain seminar itu bertujuan menjelaskan prosedur dan keperluan Sijil Halal Malaysia serta memanfaatkan geran dan insentif yang disediakan oleh kerajaan dalam pembangunan industri halal. Ia juga mampu dijadikan platform kepada peserta seminar meneroka peluang bisnes dalam industri halal dengan mewujudkan peluang pasaran dan memberi khidmat nasihat kepada usahawan dalam klinik usahawan untuk menyelesaikan isu berkaitan industri halal.


Saya menyampaikan kertas kerja bertajuk “Bisnes Halal Satu Jihad” kerana sedar pentingnya umat Islam sama-sama terbabit dalam bidang ini. Sempena Maulidur Rasul, saya juga menarik perhatian peserta seminar terhadap hakikat betapa bisnes adalah satu sunnah, dengan mengambil contoh Rasulullah sebagai seorang ahli bisnes amanah dan berjaya sebelum menjadi Rasul.


Kegagalan menjadikan bisnes sembilan persepuluh sumber kehidupan menyebabkan umat Islam terus tercicir. Demikian juga kegagalan menghayati dan merealisasikan seruan Islam agar menjadi umat ‘alyadul ulya’ iaitu ‘tangan di atas’ atau ‘tangan memberi’ yang lebih mulia kedudukannya daripada ‘tangan di bawah’ dan ‘tangan yang meminta-minta’. Bisnes halal cukup luas pengertiannya dalam konteks kehidupan hari ini. Pengarang The Halal Journal, Kamarul Aznam Kamaruzaman mentakrifkan logo halal sebagai ‘bukan setakat menjamin produk tidak mengandungi apa yang telah Allah haramkan, ia mesti menjadi tanda bukti produk berkenaan dikeluar oleh syarikat yang berbisnes mengikut cara yang penuh etika dan berakhlak.’

Di situ jelas menunjukkan makanan halal tidak lagi hanya terhad kepada aspek penyembelihan dan isu bersandarkan ramuan serta kandungan yang dicampurkan dalam makanan. Ia merangkumi aspek lain yang terbabit dalam faktor pengeluaran makanan itu. Saya mengambil ayam goreng sebagai contoh. Selama ini kita hanya menitik beratkan isu sama ada ayam disembelih dan bagaimana ia disembelih. Namun, kita terlupa dengan aspek lain seperti dari mana ayam itu datang, bagaimana ia dibela, makanan apa yang diberikan, lori untuk mengangkutnya dari ladang (apakah pernah digunakan untuk membawa khinzir), bekas dan minyak untuk menggorengnya dan kebersihan pengendalinya.


Aspek ini andai dikupas memakan masa panjang namun, ia menjadi tanggungjawab kita untuk memastikannya makanan halal yang dimakan akan memberikan kesan kepada kebersihan rohani dan jasmani kita, menjadi darah daging kita dan anak cucu kita.


Peningkatan sensitiviti masyarakat terhadap aspek halal juga membuatkan pengusaha dan pengeluar berlumba-lumba memastikan produk masing-masing terjamin kualitinya, halal dan terus diterima pengguna. Sebenarnya, isu halal membabitkan banyak aspek lain lebih meluas.


Untuk menuju ke arah itu, kumpulan syarikat JCorp telah memperjuangkan Jihad Bisnes yang kini dijadikan gagasan perjuangan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan menjadi salah satu resolusi di Kongres Ekonomi Islam Ke-3 pada 2009. Paling penting ialah anjuran supaya semua ahli bisnes dan korporat Muslim menjadikan usaha bisnes sebagai perjuangan memartabatkan Islam dan umatnya.


Saya juga mengingatkan masyarakat selaku pengguna boleh memainkan peranan menjayakan perjuangan Jihad Bisnes ini. Sebagai pengguna, kita berkuasa menggunakan setiap ringgit yang dibelanjakan setiap hari umpama undi dalam menentukan kuasa politik.


Telah tiba masanya masyarakat mengambil berat penggunaan kuasa ekonomi yang ada di tangan mereka untuk memartabatkan halal, menegakkan syariat Islam, amar makruf dan nahi mungkar menerusi Jihad Bisnes. Salah satu faktor menyumbang kepada masalah dihadapi umat Islam dalam isu halal ialah kerana kita terlalu bergantung kepada penguatkuasaan pihak berkuasa tanpa mengambil inisiatif tambahan memastikan syarat pensijilan halal dipatuhi di semua peringkat operasi secara konsisten. Ini jika tidak ditangani segera akan menjejaskan reputasi dan integriti Sijil Halal Malaysia dan kewibawaan Malaysia sebagai peneraju industri halal global.


Kerana itu, kumpulan JCorp menubuhkan Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal pada 2007 di syarikat kumpulannya yang terbabit dalam industri makanan iaitu KFC Holdings (Malaysia) Bhd meliputi bisnes restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Kemboja. Langkah ini diambil untuk memastikan integriti halal semua produknya dapat dipertahankan dan tidak diragui.


Tugas dan tanggungjawab utama jabatan berkenaan adalah untuk memantau dan mengaudit bagi menentukan semua bahan, sistem pemprosesan dan pengeluaran produk makanan ini mematuhi syarat halal dan aspek pematuhan syariah sebagaimana ditetapkan tanpa menunggu pemeriksaan pihak berkuasa.

Jabatan ini mempunyai pekerja terlatih dalam sistem pengauditan halal. Malah, dipercayai KFC Holdings (Malaysia) Bhd adalah syarikat pertama yang menubuhkan jabatan seumpama ini sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna kepada produknya termasuk Pizza Hut, Rasamas dan Ayamas di negara ini.


KFC Holdings (Malaysia) Bhd juga melantik kalangan profesional dan cendekiawan agama termasuk beberapa orang bekas mufti dalam Majlis Penasihat Syariahnya. Fungsi Majlis Penasihat Syariah ini ialah sebagai penasihat kepada pengurusan demi memastikan operasi yang dijalankannya sentiasa memenuhi keperluan syarak.


Perjuangan jihad bisnes juga tidak akan sempurna selagi ia tidak dijadikan teras perjuangan untuk menjayakan cita-cita memperkasa ekonomi umat sehingga menjadi ‘khaira ummah’ atau umat terbaik dan khalifah dalam bidang ekonomi. Status khaira ummah dan khalifah ekonomi juga tidak akan tercapai selagi umat Islam berlarutan gagal dalam usaha merebut peluang memanfaatkan halal yang harus dimulakan dalam industri makanan yang malangnya kini terus didominasi dan dikuasai bukan Muslim. Kini lebih 80 peratus makanan halal yang diguna oleh umat Islam dibekalkan oleh bukan Islam. Syarikat gergasi korporat antarabangsa atau Multinational Corporation (MNC) adalah pemain utama dan sumber pergantungan kita untuk sebahagian besar makanan halal. Dengan demikian, umat Islam Malaysia perlu merancang strategi bisnes jangka panjang untuk mengatasi cabaran ini. Saya menganjurkan supaya disusun strategi yang menggabung tenaga, kerjasama dan persepakatan antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama korporat Muslim dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menjayakan rancangan ini. Ia boleh dimulakan dengan langkah korporat Muslim serta GLC mendampingi PKS Muslim untuk menjayakan program membina usahawan PKS berjaya sehingga ke peringkat lebih tinggi. Semua ini boleh dilakukan menerusi kaedah pasaran dan bisnes tanpa membebankan kerajaan dan menggunakan sumber cukai.


Justeru, sudah sampai masanya untuk kita bangkit berjihad demi menghalalkan sistem ekonomi daripada terus didominasi golongan yang menolak konsep halal haram dan dosa pahala. Walaupun saya percaya bahawa penguatkuasaan piawaian halal begitu penting bagi menjamin produk yang dimakan halalan toyyiban (halal lagi baik), kita tidak harus hanya bergantung semata-mata kepada agensi terbabit untuk menguatkuasakan piawaian ini. Salah satu langkah yang perlu diambil ialah menggalakkan semua syarikat besar makanan mengambil inisiatif menubuhkan Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal sendiri di syarikat masing-masing bagi memastikan setiap operasi yang dijalankan selari dengan nilai Islam dan berlandaskan hukum syarak.

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum..salam ziarah..jemput masuk untuk berkongsi ilmu di ruangan isu makanan halal di Portal web Islam Murabbi..syukran jazilan.

www.murabbi.net


dari kaklong
admin murabbi