Friday, December 11, 2009

Pelancongan Islam dorong hasrat negara jadi pusat hab halal serantau


SUMBER DIPETIK DARIPADA:

BERITA HARIAN 11 DISEMBER 2009, RENCANA
Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my

INDUSTRI halal merangkumi bidang yang luas yang bukan saja tertumpu kepada produk makanan halal, farmaseutikal, kosmetik, pembungkusan atau logistik, sebaliknya ia merentasi skop lain termasuk pelancongan Islam. Ketika ini, perdagangan industri berkenaan mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan negara berikutan pasarannya amat luas. Yang pasti semua industri halal bukan saja memberi manfaat kepada 1.8 bilion masyarakat Islam di seluruh dunia, malah kepada 4.8 bilion penduduk dunia yang bukan Islam turut mendapat manfaat daripada industri berkenaan.

Jika dilihat dalam konteks itu, pelancong Islam di seluruh dunia menyumbang tujuh peratus daripada kira-kira AS$2.5 trilion (RM8.5 trilion) yang dibelanjakan setahun sepanjang percutian mereka. Menerusi jalinan itu, pelancongan Islam adalah sektor perkhidmatan yang mempunyai potensi besar dalam pasaran perniagaan berasaskan industri halal, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan negara.

Dalam aspek ini, ramai pelancong asing khususnya orang Islam tanpa ragu-ragu memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka kerana tersedia pelbagai perkhidmatan dan produk halal. Statistik menunjukkan sepanjang Januari hingga Oktober lalu, kemasukan pelancong asing ke Malaysia terus meningkat, iaitu seramai 19.15 juta berbanding 18.15 juta tahun lalu.
Malah, pelancong dari negara Muslim turut menjadi penyumbang kepada peningkatan itu dengan jumlah 4.48 juta orang. Dari segi sumbangan pendapatan, kemasukan pelancong dari Asia Barat saja mencecah RM942.2 juta (2006); RM1.4 bilion (2007) dan RM1.5 bilion (2008).

Tragedi 11 September di bumi Amerika Syarikat juga memberi kesan ketara kepada pasaran halal pelancongan yang lebih besar. Jumlah kemasukan pelancong Asia Barat meningkat mendadak, iaitu daripada 186,821 orang pada 2006 kepada 245,302; pada 2008 (264,338) dan Januari - September 2009 (252,756 orang).

Berdasarkan kepada potensi terhadap pelancongan Islam, maka maklumat, keperluan dan perkhidmatan asas berkaitannya perlu lebih mesra Muslim. Namun, di Malaysia sendiri, semua aspek itu masih belum dikategorikan sebagai mesra Muslim sepenuhnya, terutama pusat penginapan dan hotel yang kebanyakannya tidak ada arah kiblat, makanan dihidangkan benar-benar halal, kemudahan tandas tidak mesra bagi pengguna Muslim untuk membersihkan diri.

Begitu juga dengan pusat beli-belah lain, keraguan terhadap status halal makanan dan minumannya masih diragui, walaupun ada restoran melekatkan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Justeru, pelancongan Islam perlu fokus terhadap penyediaan pelbagai maklumat dan kemudahan bagi memenuhi keperluan umat Islam. Ketika ini, sudah wujud Pusat Pelancongan Islam yang ditubuhkan sejak Februari lalu di bawah Pelancongan Malaysia untuk memajukan sektor pelancongan Islam di negara.

Apa yang penting, potensi pelancongan Islam di Malaysia terbuka luas dengan faktor penyumbang lain seperti dasar liberal Malaysia yang menawarkan keselesaan dalam pelbagai segi termasuk senang mendapatkan makanan halal, kemudahan tempat beribadat, pelancongan berasaskan kesihatan, kepelbagaian budaya dan warisan, aman serta kaya dengan sumber alam semula jadi, pulau dan pusat beli-belah, selain program lebih agresif bagi pasaran negara Asia Barat serta di benua lain, harus dieksploitasi sepenuhnya bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab, berkata hari ini, perdagangan halal dianggap sektor perniagaan yang semakin berkembang di kebanyakan negara di seluruh dunia kerana berpotensi besar ke arah penerokaan industri halal khususnya boleh fokuskan kepada pelancongan berasaskan keislaman.

Katanya, Malaysia sejak sekian lama begitu komited ke arah membangunkan industri halal sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

”Kita sentiasa konsisten dengan menekankan kepada kerjasama serta elemen jaringan antara kerajaan dan syarikat swasta. Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia mempunyai tahap keselesaan tinggi terhadap isu halal bukan saja pada makanan dan minuman, malah keperluan peribadi serta kemudahan.

“Kita menyediakan banyak program termasuk kerjasama pintar antara Malaysia dengan negara luar seperti travel mart,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Persidangan Halal dan Pelancongan Islam Antarabangsa, baru-baru ini.

Justeru, kesungguhan Malaysia sebagai hab halal dunia serta menjadi pusat rujukan serantau bakal menjadi realiti berdasarkan potensi yang terbuka luas dalam bidang berkaitan.

Sementara itu, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Abdul Hadi Othman, pula berkata berdasarkan saiz pasaran produk makanan halal saja ia boleh dikembangkan secara menyeluruh. Nilai pasaran global perdagangan makanan halal dan produk bukan berasaskan makanan ialah AS$2.1 trilion setahun.

Abdul Hadi menjelaskan, saiz pasaran produk makanan halal di Malaysia ialah kira-kira RM29 bilion dengan jumlah RM3.9 bilion atau 48 peratus untuk pasaran eksport, pada tahun lalu.

Ketika ini, aktiviti seperti Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Forum Halal Dunia (WHF) mampu memberi impak berkesan ke arah pembangunan industri halal secara mapan.

Menerusi Mihas 2009, umpamanya sebanyak 529 syarikat iaitu 402 tempatan dan 127 antarabangsa menyertainya dengan keseluruhan jualan mencecah RM3 bilion sepanjang penganjurannya manakala WHF 2008, sejumlah 1,390 penyertaan dari 52 negara berjaya menghasilkan beberapa perjanjian persefahaman (Mou). Contohnya antara Pembangunan Industri Halal (HDC) dengan Lembaga Tabung Haji dan HDC dengan Tanjung Manis Food Industrial Park Sdn Bhd.

Bagi Pengurus Kanan Bahagian Perniagaan SME Corporation, Hilyati Mohd Nasir, peluang industri makanan halal mampu berkembang pesat meliputi pertanian (daging, sayur-sayuran, perikanan, ternakan); pembuatan (bahan makanan, makanan halal); perkhidmatan (peruncitan, logistik, makmal ujian, kewangan, pembungkusan).

Dengan pertumbuhan jumlah penduduk Muslim dunia dijangka tiga bilion menjelang 2010, peningkatan pendapatan, pertambahan kesedaran masyarakat untuk mendapatkan makanan yang selamat, berkualiti tinggi dan bersih dan ada jaminan dari segi standardnya turut memberi kesan hebat kepada pembangunan industri makanan halal, pada masa depan.

“Potensi permintaan global terhadap pengeluaran makanan halal dianggarkan mencecah kepada AS$2.77 trilion setahun, pasaran makanan halal AS$641.5 bilion serta pasaran makanan halal Asia AS$391.2 bilion,” katanya.

Sunday, September 27, 2009

DARAH BABI RAMUAN DALAM MEE KARI????

AWAS KEPADA PENGGUNA ISLAM!!!!

Berita mengejutkan kepada semua pengguna ISLAM! Daripada pembacaan yang dibuat dalam salah sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia baru-baru ini, didapati bahawa makanan mee kari yang dijual di sekitar negeri yang terkenal dengan tarian tradisional ”Boria” itu mengandungi beberapa bahan ramuan yang meragukan dan haram dimakan oleh pengguna Islam. Antara ramuan yang dimasukkan dalam mee kari stail Penang itu adalah ” coconut milk, chilli paste, PIG BLOOD CUBE, prawns dan bean curd puffs. Produk mee kari itu di jual dan dihidangkan di beberapa restoran yang dimiliki oleh pengusaha makanan cina. Hal ini menjadi kebimbangan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia kerana kebanyakan masyarakat Melayu Islam sewenang-wenangnya memilih untuk menikmati makanan di restoran cina tanpa menghiraukan samada ianya Halal ataupun Haram. Apa yang penting makanan yang dinikmati lazat, sedap dan berbaloi.Justeru itu, perkara sebegini perlulah dihindari dan dijauhi sama sekali bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam. Diharapkan dengan pendedahan ringkas ini memberi kesedaran kepada pengguna Islam di luar sana agar mereka lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap sebarang produk makanan yang dijual di restoran. MENCARI YANG HALAL ITU TANGGUNGJAWAB SEMUA MUSLIM. Tepuk dada, tanya IMAN!

Wednesday, September 23, 2009

Produk Halal di Jerman Buka Peluang Pembekal Malaysia



SUMBER DIPETIK DARIPADA:
UTUSAN MALAYSIA
EKONOMI
23/09/09

FRANKFURT 22 Sept. - Berdasarkan bilangan penduduk Islam yang semakin meningkat di Jerman, permintaan produk halal turut meningkat.

Situasi itu membuka peluang untuk para pembekal produk halal Malaysia dan sekali gus industri makanan halal Malaysia yang merintis segmen makanan, mempunyai peluang cerah, bukan sahaja menembusi malah mengukuhkan diri dalam pasaran khusus yang belum ada saingannya setakat ini berbanding segmen lain.

Oleh itu, pembekal Malaysia yang mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), yang mempunyai pejabat di Frankfurt, boleh membuka pasaran yang mampu menjana perniagaan dalam jangka panjang.

Kelebihan tambahan ialah saiz pasaran yang dijangka meningkat memandangkan semakin ramai pengguna Jerman kini terdedah kepada produk halal, yang pada masa lepas, terhad kepada penduduk Islam di negara itu.

Kini, para pembekal Jerman dan Eropah menambah produk halal dalam pasaran, sebagai contoh dengan menambah saham dalam produk halal yang biasa ditemui di rak-rak di pasar raya Jerman.

"Beberapa tahun lepas, jarang terdapat produk halal di pasar raya Jerman.

Wujud tanggapan salah mengenai istilah halal yang kerap dikaitkan dengan agama.

Bagaimanapun, tanggapan itu secara beransur-ansur terhakis hasil peningkatan penghayatan terhadap tahap kebersihan, dan semakin banyak pasar raya cuba memikat penduduk Islam dengan menawarkan produk halal," kata Armin Bollig, seorang penyelidik mengenai tabiat pengguna, yang menetap di Frankfurt.

Menerusi lebih tiga juta umat Islam - dan trend yang menunjukkan pertumbuhan dalam demografi - pengilang makanan Jerman mendapati pasaran yang lebih menarik jika menawarkan produk yang memenuhi kehendak minoriti yang paling pesat berkembang di Jerman itu.

"Bahagian kecil di pasar raya utama ini menunjukkan kepada anda peluang yang wujud dalam corak berbelanja pengguna Jerman yang hari ini bersedia menerima amalan makanan yang asing sebelum ini," kata Bollig semasa berjalan di Frankfiurt yang ramai didiami masyarakat Turki dan penduduk Islam lain.

Tiga juta pengguna Islam di Jerman mungkin masih merupakan pasaran yang kecil, namun berpotensi berkembang pesat memandangkan semakin ramai pengguna tempatan yang membeli produk halal.

Pengguna Jerman yang kurang terdedah kepada budaya makanan masyarakat lain, kini menikmati hidangan roti pita bersama daging dan sayur serta sos cili atau sos bawang putih, dan beransur-ansur mengetepikan sosej dan sauerkraut, makanan harian Jerman yang banyak lemak.

Namun banyak pembekal Jerman dan Eropah bukan sekadar membekalkan produk halal kepada pengguna di Jerman dan negara Eropah berjiran lain, malah ke pasaran eksport lain di negara Islam.

Antara produk halal yang dihasilkan ialah coklat, sup serta biskut.

Syarikat makanan, sebagai contoh, Nestle, mewujudkan 75 unit halal dalam rangkaian syarikat globalnya. Syarikat Swiss itu memperoleh lebih banyak keuntungan menerusi produk halal berbanding produk organik lain, dan mendapat sambutan baik di kalangan pengguna Barat.

Rangkaian peruncitan Jerman, Casino memperkenalkan laman Internet tahun lepas yang dikenali sebagai Wassila, eksklusif untuk produk halal.

Boots Britain juga melancarkan makanan bayi halal di 30 kedai runcitnya.

Beberapa pembekal halal Jerman berkata, Malaysia mempunyai burger halal yang dihidangkan oleh McDonald yang berjaya meningkatkan jualannya sebanyak 30 peratus dalam tempoh singkat.

Bagaimanapun, banyak pembekal Jerman menghadapi dilema mengenai pematuhan yang perlu diikuti dalam menyediakan makanan halal seperti penyembelihan haiwan serta ayam itik.

Mereka bagaimanapun menangani masalah itu dengan mengimport daging halal dari pembekal luar.

Masalah lain ialah pensijilan halal memandangkan tiada badan rasmi yang diperakui di Jerman yang berhak mengeluarkan sijil halal.

Akibatnya, terdapat peningkatan bilangan unit halal yang tidak terkawal, yang kini hanya disahkan oleh para imam, yang berbuat demikian dalam kapasiti tidak rasmi kerana tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian (mengeluarkan sijil halal).

Sebelum ini terdapat kes pemalsuan pengeluaran sijil halal.

Bagaimanapun, dagangan halal akan kekal di sini. Malah ada yang sanggup membeli produk halal kerana ia merupakan 'trend mega' dengan banyak kedai dan pasar raya mengaut untung, terutama ketika keyakinan pengguna kurang bermaya akibat kelembapan ekonomi dan meningkatnya pengangguran.

Forum Halal Dunia mengunjurkan jualan dunia bagi produk halal dalam tahun semasa mencecah 634 bilion euro (RM3.3 trilion), meningkat daripada 580 bilion euro (RM3.0 trilion) pada 2005.

Pameran makanan terbesar dunia, ANUGA, yang berlangsung di Cologne dari 10 hingga 14 Oktober ini juga akan memberi tumpuan terhadap produk halal, dengan satu pertiga daripada 6,000 pempamer, mengetengahkan pelbagai jenis makanan halal.

Malaysia diwakili oleh satu kontinjen syarikat pengilangan makanan, kebanyakannya membekalkan produk halal. - BERNAMA

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN




"SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN,
SEMOGA ALLAH MELIMPAHI RAHMAT DAN MAGFIRAH NYA SERTA PEMBEBASAN DARI API NERAKA...
SEMOGA BERBAHAGIA DI HARI YANG MULIA"

Tuesday, August 25, 2009

Akta-akta y berkaitan

Akta-akta yang berkaitan dengan Prosedur Pensijilan Halal adalah seperti berikut:

a)AktaPerihal Dagangan 1972
i. Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’)
1975

ii.Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975



b) Akta/Enakmen Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan
i. Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559]


c) Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan-peraturan Makanan 1985

d) Animal Rules Ordinant 1962

e) Custom Act 1962

f) Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan
PKS boleh guna Skim Jaminan tembusi pasaran Halal
Industri Halal mempunyai
potensi besar yang
belum diterokai sepenuhnya
KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini boleh mengakses skim-skim pembiayaan khas, seperti Skim Jaminan Kerajaan untuk menembusi pasaran halal.

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), dengan kerjasama empat institusi kewangan Islam iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd, Maybank Islamic Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd, akan membantu memastikan skim itu digunakan dengan berkesan oleh PKS.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata usaha kerjasama itu penting untuk membantu peserta kecil industri halal meningkatkan keupayaan dan kapasiti mereka untuk mengeksport dan menghasilkan produk.

"Saya berharap yang PKS akan meneruskannya dengan bersungguh-sungguh dalam usaha mengambil kesempatan atas perjanjian hari ini," kata beliau.

Beliau menambah, permintaan untuk produk dan perkhidmatan halal dijangka meningkat seiring dengan bertambahnya penduduk Islam dan meningkatnya pengaruh di kalangan orang Islam dengan pendapatan boleh guna.

"Untuk sebab ini, HDC akan memainkan peranannya dalam menyediakan sokongan untuk mencadangkan syarikat yang berkelayakan mendapatkan kemudahan kewangan," kata beliau.

Monday, August 24, 2009

Hanya 27 ada sijil halal


BERITA UTAMA
UTUSAN MALAYSIA ONLINE
ARKIB : 23/08/2009

Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Dalam keghairahan umat Islam berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan ini ramai yang tidak sedar bahawa hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh negara diiktiraf sebagai halal.

Malah seperti satu budaya, apabila tiba bulan Ramadan hotel-hotel tersebut akan berlumba-lumba menawarkan pakej berbuka puasa walaupun tidak mempunyai sijil halal untuk dapur utama mereka.

Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Hotel Malaysia, sehingga Mei lalu, hanya 27 hotel di seluruh negara yang dapur utama mereka diiktiraf halal.

Angka itu pastinya menimbulkan kemusykilan kerana pada bulan Ramadan ini hotel-hotel yang tidak mendapat pengiktirafan halal turut menganjurkan majlis berbuka puasa untuk umat Islam.

Tindakan mereka itu tentunya mengelirukan umat Islam terutama jika makanan yang disediakan tidak halal atau tidak menepati keperluan syariat Islam.

Sehubungan itu, Jakim menasihatkan umat Islam lebih berwaspada mengenai soal halal di sesebuah hotel bagi memastikan mereka tidak makan makanan yang diharamkan oleh agama.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, amat penting bagi umat Islam untuk memantau dan memastikan mereka hanya menjamu selera di hotel yang mempunyai persijilan halal sah bagi dapur utama mereka.

“Ketika Ramadan, seperti satu budaya, kebanyakan umat Islam gemar berbuka di hotel. Jadi diharap hotel yang dipilih itu menghidangkan makanan halal 100 peratus.
“Begitu juga dengan pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel, kami berharap penganjur lebih peka untuk memastikan tempat itu ada sijil halal Jakim atau jabatan agama Islam di negeri lain,” katanya.

Ini kerana, kata beliau, Ramadan dan soal berbuka puasa adalah ibadah bagi umat Islam.
“Janganlah nanti seharian berpuasa tetapi ia menjadi sia-sia hanya kerana hidangan yang dimakan tidak halal.
“Dalam hal ini, umat Islam mesti memainkan peranan supaya mereka hanya makan hidangan yang halal dan berkat,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, PPIM kecewa dengan sikap sebilangan umat Islam yang kurang peka dengan soal halal apabila menjamu selera di hotel.

“Sejak dulu lagi, PPIM menyedari ada umat Islam membelakangkan soal halal atau haram hidangan yang dimakan di hotel dengan tidak memastikan terlebih dahulu sama ada ia memiliki sijil halal sah atau sebaliknya,” katanya.

Noor Nirwandy menambah, apabila memilih untuk berbuka di hotel, umat Islam bukan sahaja perlu memikirkan soal halal makanan tetapi juga kesempurnaan tandas dan kelengkapan bilik solat.

Menurutnya, ada hotel termasuk yang bertaraf lima bintang tidak dilengkapi bilik solat dan tandas tanpa paip yang seolah-olah menunjukkan pengurusannya tidak mementingkan keperluan umat Islam.