Thursday, August 13, 2009

Produk halal Malaysia punyai potensi di Teluk


Utusan Malaysia, 29 Okt 2002

DUBAI 28 Okt. - Lebih 12 syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam pameran makanan dan minuman di Dubai baru-baru ini melihat potensi besar bagi produk makanan halal mereka di rantau teluk.

Semasa pameran berkenaan yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berlangsung minggu lepas, syarikat-syarikat Malaysia berjaya memperoleh beberapa niaga janji bernilai RM2.2 juta, kata seorang pegawai Matrade semalam.

Beliau berkata, wakil-wakil dari 100 syarikat teluk terutamanya dari Dubai, melawat pameran Malaysia yang menghasilkan banyak niaga janji jualan.

Beberapa syarikat Malaysia juga dalam proses mengadakan perjanjian dengan kumpulan perniagaan tempatan bagi pengedaran produk mereka di rantau tersebut.

``Kami menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada syarikat-syarikat Teluk dan mereka berminat untuk mengimport barangan makanan Malaysia yang mempunyai tanda halal,'' kata Hashim Muhammad, Pengerusi Al Ummah Food Malaysia Sdn Bhd, yang berpangkalan di Melaka.

Beliau berkata beliau mahu menggunakan Dubai sebagai pusat untuk mengeksport ke negara-negara lain di rantau berkenaan.

``Dalam masa setahun Al Ummah akan berada di beberapa tempat di Asia Barat. Sebagai permulaannya, sasaran jualan kami ialah RM30 juta setahun,'' kata Hashim.

Sejumlah 14 syarikat yang menjalankan perniagaan herba dan makanan mengambil bahagian pada pameran yang berlangsung di Pusat Perdagangan Malaysia di Dubai mulai 20 hingga 22 Oktober lepas. - Bernama

No comments: