Thursday, August 13, 2009

Pusat pembekalan lembu halal di Medan milik GLC Corp.


UTUSAN MALAYSIA
DALAM NEGERI
ARKIB: 04/08/2009

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Syarikat swasta yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Global Livestock Cattle (GLC Corporation Malaysia) berjaya membuka pusat pemotongan lembu hidup dan pusat pembekalan lembu halal di Medan, Indonesia.
Satu majlis menandatangani perjanjian usaha sama bagi mewujudkan pusat itu diadakan semalam di antara pihak kerajaan tempatan di Medan, wakil syarikat GLC Corp. dan wakil anak syarikat GLC Corp.
Menurut Pengerusi GLC Corp, Nordin Abas, pusat itu bukan sahaja membekalkan daging lembu halal di daerah Medan malah untuk pasaran seluruh Sumatera.
Katanya, GLC Corp. merupakan syarikat swasta luar negara pertama diberikan hak eksklusif untuk menjadi pembekal lembu hidup di Sumatera Utara.
''GLC Corp. berjaya meyakinkan pentadbiran kerajaan di Medan untuk menjadikan daerah itu sebagai pusat pembekal lembu hidup,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
GLC Corp., syarikat 100 peratus milik rakyat Malaysia dimiliki oleh Nordin dan Isa Abdul Rahman mempunyai hampir 800 hektar tanah bagi penyimpanan dan ternakan lembu daging di Australia.
Menurut Nordin yang juga Ketua Pegawai Operasi Exim Bank Malaysia, pihaknya sejak beberapa tahun lalu telah merancang untuk menjadikan syarikat Malaysia sebagai pembekal daging lembu halal di seluruh negara.
Katanya, ia berikutan keyakinan dan keraguan di kalangan negara Islam dan dunia terhadap status halal bagi daging lembu yang dibekalkan oleh pembekal luar, terutama dari negara bukan Islam, telah mula timbul.
Sehubungan itu, katanya, GLC mengambil cabaran untuk mengembalikan keyakinan terhadap keraguan itu selepas mendapatkan pandangan daripada beberapa para ulama dari Indonesia, Arab Saudi dan Malaysia.
Beliau berkata, wakil GLC melalui anak syarikat PT GLC Indonesia, Evy Susanti turut yakin PT GLC di Indonesia akan menjadi salah satu syarikat pembekal daging halal yang utama di seluruh Indonesia.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Ketua Pengarah Penternakan Di Jabatan Pertanian Republik Indonesia, Prof. Dr. Tjeppy D. Soejana.
Kerajaan Malaysia pula diwakili oleh Setiausaha Politik Menteri Pertanian, Datuk Muhammad Safie Asnawi dan turut hadir wakil Gabenor Sumatera Utara, Gatot Pujo Nugroho ST.

No comments: