Tuesday, July 21, 2009

Jaip Periksa Kilang Guna Berus Babi

Jaip periksa kilang guna berus babi
Harian Metro, 28 Ogos 2001
Ahmad Fitri


PEKAN: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memandang serius penggunaan berus bulu babi oleh beberapa kilang makanan, di sini, dalam penyediaan produk masing-masing.

Oleh itu, pemeriksaan lebih teliti dan berjadual membabitkan beberapa agensi kerajaan akan terus dilakukan terhadap semua kilang yang menghasilkan produk makanan memerlukan penggunaan berus bulu babi.

Penolong Pengarah Penyelidikan dan Unit Ekonomi dan Sosial Jaip, Mohd Kahar Abd Aziz, berkata pihaknya terkilan dengan kejadian itu yang dianggap menjejaskan imej dan kesucian masyarakat Islam.

Menurutnya, bagi memastikan kejadian tidak berleluasa, Jaip akan mengadakan perbincangan lebih teliti dengan pejabat mufti bagi mencari jalan terbaik menyelesaikannya.

Katanya, keputusan berkenaan dianggap jalan terbaik bagi kedua-dua belah pihak iaitu pengusaha dan masyarakat Islam sendiri yang menjadi pengguna utama.

“Perbincangan dengan pejabat mufti itu turut menyentuh masalah pekerja Islam dan penggunaan mesin serta peralatan yang diperlukan untuk menghasilkan poruduk kilang terbabit.

“Jaip juga akan meneliti dan mengkaji di segi pengeluaran sijil dan tanda halal manakala pemeriksaan tidak menjurus kepada sudut tertentu sahaja,” katanya.

Mohd Kahar diminta mengulas kejayaan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang menemui dua berus bulu babi yang digunakan kilang membuat makanan, minggu lalu.

Penggunaan berus bulu babi disahkan Jabatan Kimia minggu lalu selepas dua contoh berus diserahkan kepada pihak berkenaan.

Kahar berkata, dalam hal ini, Jaip tidak akan mengambil tindakan terburu-buru sebaliknya membuat pertemuan secara terbaik dengan pengusaha kilang bagi menerangkan kedudukan sebenar.

“Saya percaya pengusaha kilang itu tidak tahu berus yang digunakan diperbuat dari bulu babi. Ini kerana selain menjejaskan pemasaran keluaran mereka ia juga mungkin kehilangan pekerja Melayu.

“Nasihat Jaip kepada semua pengusaha kilang makanan yang menggunakan berus supaya lebih berwaspada dalam pengunaan berus. Mereka boleh gunakan berus plastik selain mendapat nasihat mereka yang mahir,” katanya.


©New Straits Times (M) Berhad

No comments: