Wednesday, July 22, 2009

PINGGAN DARIPADA TULANG BABI

Jul 21, 2009
Pinggan daripada Tulang Babi



CAP minta umat Islam waspada beli seramik campuran haiwan haram


KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu berwaspada apabila membeli pinggan mangkuk dan perkakasan makanan seperti cawan dan piring daripada seramik kerana ada jenama tertentu mengandungi campuran tulang haiwan, termasuk tulang babi.

Tinjauan di beberapa gedung beli-belah di ibu negara mendapati tiada label diletakkan bagi memaklumkan pengguna bahan campuran digunakan untuk menghasilkan perkakasan itu.

Berbanding dengan kedai kasut yang biasanya meletakkan label 'kasut diperbuat daripada kulit babi' di ruang jualan, peniaga yang menjual pinggan mangkuk mengandungi campuran tulang haiwan tidak memaklumkannya kepada pembeli.

Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, ketika diminta mengulas, berkata orang ramai boleh mengenali perkakasan yang mengandungi tulang haiwan kerana kebanyakannya tercatat Bone China di belakangnya.

Bone China adalah istilah komersial digunakan pembuat perkakasan pinggan mangkuk yang mengandungi tulang haiwan.

"Berbanding penggunaan kaca dan tembikar sepenuhnya, perkakasan yang mengandungi tulang haiwan ditumbuk halus itu biasanya diimport dari Jepun dan United Kingdom. Ia dicampurkan bagi menjadikannya lebih berkilat dan cantik.

"Ia biasanya lebih eksklusif dengan harga mencecah RM8,000 satu set," katanya.

Namun, katanya, peniaga sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan meletakkan label di ruang jualan bagi memudahkan umat Islam mengenal pasti sama ada perkakasan dibeli dicampur tulang haiwan.

Bagaimanapun, beliau berkata, umat Islam boleh menghubungi CAP di talian 04-8299511 untuk kepastian.

Pengarah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata pihaknya pernah menerima aduan umat Islam yang khuatir mengenai penggunaan perkakasan seramik yang dikatakan mengandungi tulang haiwan.

"Namun, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai bukti kukuh. Pihak berkuasa perlu menubuhkan unit khas untuk membuat kajian makmal," katanya.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar, pula berkata pengguna yang ingin mendapatkan kepastian boleh membawa perkakasan itu untuk dianalisis oleh Unit Pemantauan dan Penguatkuasaannya.


Oleh: Siti Haliza Yusop
Berita Harian Online
22 Julai 2009

No comments: