Wednesday, July 22, 2009

TANGANI SIJIL HALAL PALSU

Minda: Tangani sijil halal palsu
Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my



APABILA menyentuh mengenai konsep halal, ia tidak terhad kepada produk makanan semata-mata, tetapi meliputi semua peringkat kehidupan seharian, namun yang pasti fikiran kita terus tertumpu kepada apa yang dimakan.

Justeru itu, setiap kali berhasrat menjamu selera di luar sudah tentu pemilihan tempat dinilai bukan sekadar kesedapan, tetapi turut merangkumi keselesaan, kebersihan, penyediaan dan paling penting status halal yang dimiliki premis berkenaan.

Dengan adanya sijil halal dipamerkan di sesebuah restoran, pengguna tidak ragu-ragu terhadap kesucian makanan disediakan kerana yakin pihak pengurusan premis itu mematuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa agama Islam.

Namun, pendedahan demi pendedahan mengenai kewujudan sijil halal palsu dan penyalahgunaan sijil halal menyebabkan masyarakat semakin dihimpit kebimbangan.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) mengesahkan hanya 170 dapur di lebih 2,000 hotel, termasuk hotel bajet di seluruh negara mempunyai pensijilan halal.

Badan yang ditubuhkan pada 18 September 2006 yang sebelum ini bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal mendapati kurang sambutan terhadap permohonan pensijilan halal berpunca daripada tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan setiap dapur hotel perlu mempunyai sijil berkenaan, selain sikap pemilik hotel serta kekeliruan mengenainya.

Pada masa sama, media turut mendedahkan mengenai pengusaha restoran bukan Islam yang memilih membeli sijil halal palsu dan tidak diiktiraf pada harga tertentu bagi mengelak terikat dengan syarat serta prosedur pensijilan halal.

Perkara ini jelas menunjukkan ramai pihak tidak memandang serius aspek halal haram makanan serta kebajikan pengguna Islam di negara ini.

Sehubungan itu, keputusan Kabinet meluluskan tanggungjawab pengeluaran sijil halal diambil semula Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), berkuat kuasa serta-merta dilihat sebagai langkah bijak bagi mengukuhkan keyakinan orang ramai.

HDC pula akan menumpukan kepada usaha membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menggalakkan pelaburan dari luar negara dalam usaha meneruskan tanggungjawab menjadikan negara peneraju hab halal dunia.

Malah, keputusan kerajaan itu akan memberi ruang lebih luas untuk HDC membantu pemain dalam industri halal memperkasakan kemampuan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, dipetik sebagai berkata peranan itu kurang sesuai dikendalikan HDC memandangkan badan berkenaan mempunyai tanggungjawab khusus iaitu menguruskan industri hab halal di negara ini.

“Jadi kita fikir tanggungjawab mengeluarkan sijil halal ini dikembalikan kepada Jakim kerana permintaan sijil halal begitu tinggi di peringkat global,” katanya.

Menyentuh keputusan kerajaan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi sokongan penuh kepada Jakim mengambil alih pengeluaran sijil halal.

Namun, pada masa sama, CAP menggesa Jakim, Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan pihak berkuasa berkaitan supaya bertindak lebih proaktif serta agresif dalam menangani semua masalah berkaitan sijil halal terutama penggunaan sijil halal tidak diiktiraf.

Presidennya, S M Mohamed Idris, berkata satu mekanisma komprehensif diperlukan misalnya mewajibkan semua pemilik restoran bukan Islam mendaftar dengan Main dan nama premis berkenaan dipaparkan di dalam laman web jabatan itu untuk makluman awam.

“Tindakan itu boleh disusuli pemeriksaan dan pemantauan berterusan Main, Jakim serta pihak berkuasa berkaitan membabitkan auditor syariah dan teknikal (teknologi makanan) dari semasa ke semasa bagi memastikan restoran itu benar-benar layak memiliki sijil halal,” katanya.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga perlu agresif dalam penguatkuasaan bagi memastikan restoran terutama milik bukan Islam tidak mempamerkan sijil halal tidak sah.

“Sudah tiba masanya kerajaan mewajibkan pengusaha hotel mendapatkan pensijilan halal demi memastikan hak serta pilihan pengguna tidak terabai.

“Pemprosesan dan pembungkusan makanan antara halal dan tidak di hotel juga perlu dipantau dengan lebih kerap kerana kebanyakan hotel di negara ini menggunakan khidmat pakar luar negara yang belum tentu dapat memahami dengan jelas hukum halal haram masyarakat Islam,” katanya.

Mewajibkan mana-mana pengusaha yang terbabit dalam perusahaan makanan terutama apabila ia membabitkan pengguna Islam memohon sijil halal adalah satu cadangan yang perlu dipandang serius.

Ini kerana, permohonan sijil halal bukan satu peraturan yang diwajibkan ke atas pengusaha, sebaliknya ia dilakukan atas dasar sukarela dan hanya selepas sesebuah premis itu memohon sijil pengesahan halal, baru mereka terikat dengan peraturan ditetapkan.

Bagi pengusaha yang tidak membuat permohonan, pihak berkuasa tidak dapat mengambil sebarang tindakan kecuali jika menerima aduan orang ramai, mereka mempamerkan perkataan 'halal' atau tanda lain menunjukkan ia makanan orang Islam, tetapi yang dijual sebaliknya.

Menjelaskan perkara itu, Penolong Pegawai Perhubungan Awam Jakim, Najmuddin Baharudin, berkata apabila premis memohon persijilan halal ia sebenarnya satu publisiti kepada mereka untuk mendorong kehadiran pengguna Islam.

Beliau mengakui permohonan sijil halal bukan diwajibkan, tetapi Jakim sebenarnya sudah mengkaji dan dalam proses ke arah menguatkuasakan peraturan itu demi kebajikan pengguna Islam.

“Buat masa ini, cadangan itu masih dikaji, tetapi pada masa sama pihak penguat kuasa Jakim boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha makanan yang menggunakan sijil halal palsu atau menyalahgunakan nama Jakim untuk menarik pelanggan,” katanya.

Mengenai tanggungjawab pengeluaran sijil halal yang dikembalikan kepada Jakim, Najmuddin berkata, pengambilalihan itu masih dalam proses.

“Ia mengambil masa kerana kita perlu semak dan menyusun semula peraturan permohonan. Ia disebabkan ketika HDC memegang peranan itu, mungkin terdapat beberapa pembaharuan dilakukan.

“HDC adalah badan korporat, mungkin pembaharuan yang dilakukan sebelum ini ada yang tidak sesuai dengan prosedur jabatan kerajaan,” katanya.

Bagi pengusaha, memohon sijil halal adalah penting untuk meyakinkan pengguna terhadap kesucian produk dijual dan di sudut pengguna pula, mereka tidak perlu bimbang kerana premis yang mendapat sijil pengesahan halal, sentiasa dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Tetapi kehendak pengguna juga penting kerana tindakan terakhir terpulang kepada mereka sama ada mahu makan atau menggunakan produk yang mempunyai sijil halal atau tidak.

1 comment:

Nisa said...

Salam..
Nampaknye. kerajaan kite kite kne mengeluarkan satu sistem or improve sistem yang sedia ade untuk mengelakkan berlakunye kejadian seperti menciplak logo halal..logo halal tu pun senang sgt ditiru, adoii..