Wednesday, July 29, 2009

Mesin mengesan bahan tidak halal





Mesin mengesan bahan tidak halal
Oleh Norakmah Mat Youb
Berita Minggu, 21 Mei 2006



Data yang diperoleh tepat dan cepat berbanding kaedah kimia yang digunakan sekarang

MENGESAN kandungan tidak halal dalam makanan dalam tempoh kurang seminit? Tiada yang mustahil kini kerana sekumpulan penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuktikan ia dapat dilaksanakan.

Kejayaan mencipta mesin Spektroskop Inframerah Pengubah Fourier (SFTIR), yang diketuai pensyarah Jabatan Bioteknologi, Kuliyyah Sains, Penolong Prof Dr Irwandi Jaswir, 35, itu berupaya mengesan kandungan lemak haiwan dan gelatin dalam makanan halal.

Kejayaan itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas di Pameran Antarabangsa Inovasi, Teknik Baru dan Produk ke-34 di Geneva, Switzerland, baru-baru ini.

Irwandi berkata, penyelidikannya bukan saja untuk industri malah membantu umat Islam mengenal pasti barangan halal di samping merealisasi usaha kerajaan menjadikan Malaysia pusat hab halal dunia.

Katanya, mesin yang dibangunkan sejak tahun 2002 itu mampu menjimatkan masa, mesra alam dan menawarkan perkhidmatan cepat serta konsisten. Ia boleh digunakan terhadap sampel berbentuk cecair mahupun pepejal secara terus.

Kelebihan sistem itu ialah data yang diperoleh tepat dan cepat berbanding kaedah kimia yang digunakan sekarang serta tidak memerlukan bahan kimia dalam pengujiannya.

Beliau berkata, untuk menggunakannya sampel ujian perlu dimasukkan ke dalam mesin berkenaan dan cahaya infra merah akan mengesan mana-mana sampel yang mengandungi bahan tidak halal.

Katanya, setiap data yang diperoleh daripada pelbagai sampel makanan akan dimasukkan dalam satu pangkalan data untuk rujukan.

Beliau yang dibantu dua pensyarah lain iaitu Prof Dr Torla H Hassan dan Dr Mohamed E S Mirghani berkata, penggunaan kaedah spektroskop FTIR juga mampu menyediakan teknik analitikal yang konsisten dalam pengukuran kualiti kandungan tidak halal dalam makanan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan bahan yang diragui halal atau haram itu tidak disedari kebanyakan pengguna walaupun sesetengahnya dengan jelas melabelkan kandungan bahan berkenaan pada pembungkusnya.

Malah, kaedah ujian makmal yang digunakan ada kalanya tidak mampu mengesan kandungan tidak halal secara tepat dan mengambil masa agak lama.

"Dengan adanya sistem ini, pihaknya berupaya mengenal pasti masalah itu dalam tempoh singkat dan kita mengharapkan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi membawa hasil penyelidikan ini ke peringkat tinggi," katanya.

“Pada awalnya, saya tidak menyangka kajian itu akan memenangi tempat pertama kerana persaingannya terlalu kuat. Kejayaan ini membuktikan saintis Islam berkemampuan, cuma kita perlu berani," katanya.

"Setakat ini, ujian dilakukan ke atas coklat dalam bentuk cecair atau pepejal, dan data berkaitan kandungan gelatin atau lemak haiwan dalam makanan itu berjaya diperoleh secara tepat.

"Sampel ujian menggunakan coklat dibuat memandangkan ia menjadi makanan kegemaran kanak-kanak yang bukan saja tidak menjanjikan khasiat, malah sesetengahnya dikhuatiri mengandungi bahan tidak halal kerana terdapat gelatin.

"Malah, kebanyakan makanan itu mengandungi bahan diperbuat daripada tulang dan kulit haiwan yang direbus itu diimport dan dijual dengan meluas termasuk di kedai runcit seluruh negara," katanya.

No comments: