Wednesday, July 29, 2009

ISU BAHAN RAMUAN YANG MERAGUKAN DALAM PRODUK.
















Produk Gunaan dan Hiasan Diri


Bagaimanakah Gincu Menjadi Penyebab 'Kanser'?



Menurut kajian yang dibuat oleh sekumpulan hak pengguna di Amerika Syarikat, mereka mendapati bahawa produk gincu yang diuji lebih separuh daripadanya adalah mengandungi plumbum atau logam “Lead”.

Kumpulan ini telah mengadakan 'Kempen Kosmetik Selamat' dan telah menguji gincu-gincu merah daripada 33 jenama dengan menggunakan khidmat Kumpulan Penguji Bodycate dari Santa Fe Spring, California. Hasilnya ia mendapati 61 % daripada gincu-gincu itu mempunyai kadar plumbum di antara 0.03 hingga 0.65 bahagian persejuta.

Gincu-Gincu tersebut termasuk daripada jenama terkenal telah diuji positif mengandungi lebih banyak plumbum atau lead daripada jenama-jenama lain. 1/3 daripada gincu tersebut didapati mengandungi kadar plumbum melebihi had 0.1 bahagian per sejuta yang telah ditetapkan untuk gula-gula oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika (FDA). Walaubagaimanapun pihak FDA belum lagi menghadkan apakah kadar plumbum yang selamat dalam gincu.

Gincu seperti gula-gula, mudah masuk ke dalam tubuh. Sekiranya termakan, ia akan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan termasuklah kanser.

Apakah itu Plumbum atau Lead?

Plumbum merupakan bahan kimia yang telah digunakan berkurun-kurun lamanya. Ia diklasifikasikan sebagai logam berat yang tidak mempunyai sebarang faedah dari segi kesihatan dan disifatkan sebagai racun. Apabila seseorang tersentuh atau terhidu sesuatu benda yang mengandungi plumbum, ia boleh meresap masuk ke dalam badan dan kekal di dalamnya dalam tempoh yang lama.


Apakah Plumbum merbahaya?

Ya, Plumbum boleh menyebabkan masalah pembelajaran, kurang beri tumpuan, penguasaan bahasa dan tingkahlaku seperti lemah dalam pelajaran serta tabiat lebih agresif. Wanita hamil dan kanak-kanak kecil paling mudah terjejas.

Untuk wanita pula ia boleh menyebabkan kanser buah dada, masalah mandul, keguguran, menganggu sistem peredaran darah dan bengkak bibir yang serius.


Mengapakah Plumbum dimasukkan ke dalam Gincu?

Plumbum atau Lead dimasukkan ke dalam Gincu untuk menjaga agar bibir tahan pengoksidaan udara (oxidation), tahan air (waterproof) & tahan lebih lama (long lasting) terutama yang berjenama dan diimport.

Tetapi Awas!!! Tidak semua gincu di pasaran Halal

Jangan Terkejut! Sebenarnya, ada Gincu di pasaran ketika ini diperbuat daripada bahan yang diketahui tidak halal untuk orang Islam iaitu 'Lemak Babi' atau lebih dikenali sebagai "Gelatin" dan nama saintifiknya ialah ‘sodium tallowate’. Ia merupakan bahan terpenting dalam kandungan pembuatan sesuatu Gincu atau bahan kosmetik yang lain. Ia bukan lagi rahsia tapi sengaja masyarakat kita masih tidak peka atau buat tak tahu saja tentang isu ini.

Mengapa 'Lemak Babi' bukan lemak binatang lain?

Binatang babi dijadikan 1001 macam kegunaan. Di antara yang digunakan dalam bidang kosmetik ialah sumber lemaknya iaitu Gelatin. Lemak babi ini sungguh istimewa yang tidak terdapat pada binatang lain. Hanya lemak babi saja yang tidak akan cair iaitu tahan suhu apabila diletakkan bersama pada badan manusia berbanding dengan lemak binatang lain. Sebab itu ada Gincu yang kita pakai terutama yg diimport boleh tahan lama dibibir tanpa rasa melekit atau luntur sedikit pun. Industri kosmetik sekarang tidak ada pilihan lain selain terus menggunakan lemak babi ini untuk Gincu keluaran mereka agar tampak lebih berkualiti berbanding jenama lain.
Pernah dengar isu 'Uri Bayi' atau 'Plasenta Bayi' dimasukkan ke dalam Gincu?

Saya percaya ramai wanita pernah mendengar isu ini yang pernah 'meletup' suatu masa dahulu. Ada yang percaya dan ada yang tidak. Tetapi menurut satu sumber, gincu berjenama terkenal buatan Jepun atau China, berkemungkinan besar menggunakan produk yang dihasilkan dari uri bayi atau plasenta bayi yang telah diharamkan oleh pihak berkuasa Malaysia. Bahan haram itu dipercayai diadun di dalam gincu berjenama terkenal kerana sifatnya yang boleh memberi kesan positif kepada kulit berikutan kewujudan sejenis hormon estrogen yang kaya dengan kandungan darah seperti albumin.

Isu 'kulit mayat' dibuat gincu?

Hati-hati dengan produk kolagen yang semakin banyak berada di pasaran tempatan dan menjadi idaman golongan wanita masa kini. Anda tahu apa itu Kolagen? Kolagen adalah sejenis protein serat pada kulit, tulang rawan, tulang dan tisu penyambung lain pada badan manusia.

Kulit mayat banduan yang dihukum mati telah digunakan bagi menghasilkan kolagen dan dimasukkan ke dalam produk kecantikan termasuk gincu untuk perawatan anti-kedut dan memejalkan bibir. Ini telah terbukti bahawasanya syarikat produk kecantikan di China telah menghasilkan produk kecantikan jenis ini dan menjualnya ke pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan Britain. Tidak mustahil negara-negara Barat ini menghasilkan produk mereka sendiri pula dan memasarkannya di Malaysia.

Apakah dia V2 SILVER LIPSTICK ini?

V2 SILVER LIPSTICK ialah produk muslim yang dihasilkan oleh syarikat milik penuh Bumiputera iaitu Dynamic Crystal Network Sdn Bhd melalui campuran bahan terpilih, ramuan herba tumbuh-tumbuhan, aloe vera serta susu kambing asli tanpa campuran bahan awet terlarang.

Berlainan dengan jenama gincu terkenal yang lain, V2 SILVER LIPSTICK adalah buatan orang Islam, boleh dibawa bersolat kerana bahan yang digunakan juga dijamin bersih,suci dan selamat kerana telah mendapat kelulusan 100 % Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga telah mendapatkan sijil pengesahan HALAL daripada JAKIM Malaysia. Produknya yang tahan lama dan berkualiti tinggi juga setanding dengan jenama import terkenal yang lain serta harganya yang lebih murah serta komprehensif di pasaran tempatan.

Sumber Rujukan:www.themuslimwoman.com, www.jphpk.gov.my
Sumber Rujukan:- www.vivawoman.net, www.rediesh.com

Mesin mengesan bahan tidak halal





Mesin mengesan bahan tidak halal
Oleh Norakmah Mat Youb
Berita Minggu, 21 Mei 2006



Data yang diperoleh tepat dan cepat berbanding kaedah kimia yang digunakan sekarang

MENGESAN kandungan tidak halal dalam makanan dalam tempoh kurang seminit? Tiada yang mustahil kini kerana sekumpulan penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuktikan ia dapat dilaksanakan.

Kejayaan mencipta mesin Spektroskop Inframerah Pengubah Fourier (SFTIR), yang diketuai pensyarah Jabatan Bioteknologi, Kuliyyah Sains, Penolong Prof Dr Irwandi Jaswir, 35, itu berupaya mengesan kandungan lemak haiwan dan gelatin dalam makanan halal.

Kejayaan itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas di Pameran Antarabangsa Inovasi, Teknik Baru dan Produk ke-34 di Geneva, Switzerland, baru-baru ini.

Irwandi berkata, penyelidikannya bukan saja untuk industri malah membantu umat Islam mengenal pasti barangan halal di samping merealisasi usaha kerajaan menjadikan Malaysia pusat hab halal dunia.

Katanya, mesin yang dibangunkan sejak tahun 2002 itu mampu menjimatkan masa, mesra alam dan menawarkan perkhidmatan cepat serta konsisten. Ia boleh digunakan terhadap sampel berbentuk cecair mahupun pepejal secara terus.

Kelebihan sistem itu ialah data yang diperoleh tepat dan cepat berbanding kaedah kimia yang digunakan sekarang serta tidak memerlukan bahan kimia dalam pengujiannya.

Beliau berkata, untuk menggunakannya sampel ujian perlu dimasukkan ke dalam mesin berkenaan dan cahaya infra merah akan mengesan mana-mana sampel yang mengandungi bahan tidak halal.

Katanya, setiap data yang diperoleh daripada pelbagai sampel makanan akan dimasukkan dalam satu pangkalan data untuk rujukan.

Beliau yang dibantu dua pensyarah lain iaitu Prof Dr Torla H Hassan dan Dr Mohamed E S Mirghani berkata, penggunaan kaedah spektroskop FTIR juga mampu menyediakan teknik analitikal yang konsisten dalam pengukuran kualiti kandungan tidak halal dalam makanan.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan bahan yang diragui halal atau haram itu tidak disedari kebanyakan pengguna walaupun sesetengahnya dengan jelas melabelkan kandungan bahan berkenaan pada pembungkusnya.

Malah, kaedah ujian makmal yang digunakan ada kalanya tidak mampu mengesan kandungan tidak halal secara tepat dan mengambil masa agak lama.

"Dengan adanya sistem ini, pihaknya berupaya mengenal pasti masalah itu dalam tempoh singkat dan kita mengharapkan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi membawa hasil penyelidikan ini ke peringkat tinggi," katanya.

“Pada awalnya, saya tidak menyangka kajian itu akan memenangi tempat pertama kerana persaingannya terlalu kuat. Kejayaan ini membuktikan saintis Islam berkemampuan, cuma kita perlu berani," katanya.

"Setakat ini, ujian dilakukan ke atas coklat dalam bentuk cecair atau pepejal, dan data berkaitan kandungan gelatin atau lemak haiwan dalam makanan itu berjaya diperoleh secara tepat.

"Sampel ujian menggunakan coklat dibuat memandangkan ia menjadi makanan kegemaran kanak-kanak yang bukan saja tidak menjanjikan khasiat, malah sesetengahnya dikhuatiri mengandungi bahan tidak halal kerana terdapat gelatin.

"Malah, kebanyakan makanan itu mengandungi bahan diperbuat daripada tulang dan kulit haiwan yang direbus itu diimport dan dijual dengan meluas termasuk di kedai runcit seluruh negara," katanya.

Wednesday, July 22, 2009

TANGANI SIJIL HALAL PALSU

Minda: Tangani sijil halal palsu
Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my



APABILA menyentuh mengenai konsep halal, ia tidak terhad kepada produk makanan semata-mata, tetapi meliputi semua peringkat kehidupan seharian, namun yang pasti fikiran kita terus tertumpu kepada apa yang dimakan.

Justeru itu, setiap kali berhasrat menjamu selera di luar sudah tentu pemilihan tempat dinilai bukan sekadar kesedapan, tetapi turut merangkumi keselesaan, kebersihan, penyediaan dan paling penting status halal yang dimiliki premis berkenaan.

Dengan adanya sijil halal dipamerkan di sesebuah restoran, pengguna tidak ragu-ragu terhadap kesucian makanan disediakan kerana yakin pihak pengurusan premis itu mematuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa agama Islam.

Namun, pendedahan demi pendedahan mengenai kewujudan sijil halal palsu dan penyalahgunaan sijil halal menyebabkan masyarakat semakin dihimpit kebimbangan.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) mengesahkan hanya 170 dapur di lebih 2,000 hotel, termasuk hotel bajet di seluruh negara mempunyai pensijilan halal.

Badan yang ditubuhkan pada 18 September 2006 yang sebelum ini bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal mendapati kurang sambutan terhadap permohonan pensijilan halal berpunca daripada tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan setiap dapur hotel perlu mempunyai sijil berkenaan, selain sikap pemilik hotel serta kekeliruan mengenainya.

Pada masa sama, media turut mendedahkan mengenai pengusaha restoran bukan Islam yang memilih membeli sijil halal palsu dan tidak diiktiraf pada harga tertentu bagi mengelak terikat dengan syarat serta prosedur pensijilan halal.

Perkara ini jelas menunjukkan ramai pihak tidak memandang serius aspek halal haram makanan serta kebajikan pengguna Islam di negara ini.

Sehubungan itu, keputusan Kabinet meluluskan tanggungjawab pengeluaran sijil halal diambil semula Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), berkuat kuasa serta-merta dilihat sebagai langkah bijak bagi mengukuhkan keyakinan orang ramai.

HDC pula akan menumpukan kepada usaha membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menggalakkan pelaburan dari luar negara dalam usaha meneruskan tanggungjawab menjadikan negara peneraju hab halal dunia.

Malah, keputusan kerajaan itu akan memberi ruang lebih luas untuk HDC membantu pemain dalam industri halal memperkasakan kemampuan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, dipetik sebagai berkata peranan itu kurang sesuai dikendalikan HDC memandangkan badan berkenaan mempunyai tanggungjawab khusus iaitu menguruskan industri hab halal di negara ini.

“Jadi kita fikir tanggungjawab mengeluarkan sijil halal ini dikembalikan kepada Jakim kerana permintaan sijil halal begitu tinggi di peringkat global,” katanya.

Menyentuh keputusan kerajaan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi sokongan penuh kepada Jakim mengambil alih pengeluaran sijil halal.

Namun, pada masa sama, CAP menggesa Jakim, Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan pihak berkuasa berkaitan supaya bertindak lebih proaktif serta agresif dalam menangani semua masalah berkaitan sijil halal terutama penggunaan sijil halal tidak diiktiraf.

Presidennya, S M Mohamed Idris, berkata satu mekanisma komprehensif diperlukan misalnya mewajibkan semua pemilik restoran bukan Islam mendaftar dengan Main dan nama premis berkenaan dipaparkan di dalam laman web jabatan itu untuk makluman awam.

“Tindakan itu boleh disusuli pemeriksaan dan pemantauan berterusan Main, Jakim serta pihak berkuasa berkaitan membabitkan auditor syariah dan teknikal (teknologi makanan) dari semasa ke semasa bagi memastikan restoran itu benar-benar layak memiliki sijil halal,” katanya.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga perlu agresif dalam penguatkuasaan bagi memastikan restoran terutama milik bukan Islam tidak mempamerkan sijil halal tidak sah.

“Sudah tiba masanya kerajaan mewajibkan pengusaha hotel mendapatkan pensijilan halal demi memastikan hak serta pilihan pengguna tidak terabai.

“Pemprosesan dan pembungkusan makanan antara halal dan tidak di hotel juga perlu dipantau dengan lebih kerap kerana kebanyakan hotel di negara ini menggunakan khidmat pakar luar negara yang belum tentu dapat memahami dengan jelas hukum halal haram masyarakat Islam,” katanya.

Mewajibkan mana-mana pengusaha yang terbabit dalam perusahaan makanan terutama apabila ia membabitkan pengguna Islam memohon sijil halal adalah satu cadangan yang perlu dipandang serius.

Ini kerana, permohonan sijil halal bukan satu peraturan yang diwajibkan ke atas pengusaha, sebaliknya ia dilakukan atas dasar sukarela dan hanya selepas sesebuah premis itu memohon sijil pengesahan halal, baru mereka terikat dengan peraturan ditetapkan.

Bagi pengusaha yang tidak membuat permohonan, pihak berkuasa tidak dapat mengambil sebarang tindakan kecuali jika menerima aduan orang ramai, mereka mempamerkan perkataan 'halal' atau tanda lain menunjukkan ia makanan orang Islam, tetapi yang dijual sebaliknya.

Menjelaskan perkara itu, Penolong Pegawai Perhubungan Awam Jakim, Najmuddin Baharudin, berkata apabila premis memohon persijilan halal ia sebenarnya satu publisiti kepada mereka untuk mendorong kehadiran pengguna Islam.

Beliau mengakui permohonan sijil halal bukan diwajibkan, tetapi Jakim sebenarnya sudah mengkaji dan dalam proses ke arah menguatkuasakan peraturan itu demi kebajikan pengguna Islam.

“Buat masa ini, cadangan itu masih dikaji, tetapi pada masa sama pihak penguat kuasa Jakim boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha makanan yang menggunakan sijil halal palsu atau menyalahgunakan nama Jakim untuk menarik pelanggan,” katanya.

Mengenai tanggungjawab pengeluaran sijil halal yang dikembalikan kepada Jakim, Najmuddin berkata, pengambilalihan itu masih dalam proses.

“Ia mengambil masa kerana kita perlu semak dan menyusun semula peraturan permohonan. Ia disebabkan ketika HDC memegang peranan itu, mungkin terdapat beberapa pembaharuan dilakukan.

“HDC adalah badan korporat, mungkin pembaharuan yang dilakukan sebelum ini ada yang tidak sesuai dengan prosedur jabatan kerajaan,” katanya.

Bagi pengusaha, memohon sijil halal adalah penting untuk meyakinkan pengguna terhadap kesucian produk dijual dan di sudut pengguna pula, mereka tidak perlu bimbang kerana premis yang mendapat sijil pengesahan halal, sentiasa dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Tetapi kehendak pengguna juga penting kerana tindakan terakhir terpulang kepada mereka sama ada mahu makan atau menggunakan produk yang mempunyai sijil halal atau tidak.

PINGGAN DARIPADA TULANG BABI

Jul 21, 2009
Pinggan daripada Tulang Babi



CAP minta umat Islam waspada beli seramik campuran haiwan haram


KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu berwaspada apabila membeli pinggan mangkuk dan perkakasan makanan seperti cawan dan piring daripada seramik kerana ada jenama tertentu mengandungi campuran tulang haiwan, termasuk tulang babi.

Tinjauan di beberapa gedung beli-belah di ibu negara mendapati tiada label diletakkan bagi memaklumkan pengguna bahan campuran digunakan untuk menghasilkan perkakasan itu.

Berbanding dengan kedai kasut yang biasanya meletakkan label 'kasut diperbuat daripada kulit babi' di ruang jualan, peniaga yang menjual pinggan mangkuk mengandungi campuran tulang haiwan tidak memaklumkannya kepada pembeli.

Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, ketika diminta mengulas, berkata orang ramai boleh mengenali perkakasan yang mengandungi tulang haiwan kerana kebanyakannya tercatat Bone China di belakangnya.

Bone China adalah istilah komersial digunakan pembuat perkakasan pinggan mangkuk yang mengandungi tulang haiwan.

"Berbanding penggunaan kaca dan tembikar sepenuhnya, perkakasan yang mengandungi tulang haiwan ditumbuk halus itu biasanya diimport dari Jepun dan United Kingdom. Ia dicampurkan bagi menjadikannya lebih berkilat dan cantik.

"Ia biasanya lebih eksklusif dengan harga mencecah RM8,000 satu set," katanya.

Namun, katanya, peniaga sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan meletakkan label di ruang jualan bagi memudahkan umat Islam mengenal pasti sama ada perkakasan dibeli dicampur tulang haiwan.

Bagaimanapun, beliau berkata, umat Islam boleh menghubungi CAP di talian 04-8299511 untuk kepastian.

Pengarah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata pihaknya pernah menerima aduan umat Islam yang khuatir mengenai penggunaan perkakasan seramik yang dikatakan mengandungi tulang haiwan.

"Namun, kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai bukti kukuh. Pihak berkuasa perlu menubuhkan unit khas untuk membuat kajian makmal," katanya.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar, pula berkata pengguna yang ingin mendapatkan kepastian boleh membawa perkakasan itu untuk dianalisis oleh Unit Pemantauan dan Penguatkuasaannya.


Oleh: Siti Haliza Yusop
Berita Harian Online
22 Julai 2009

Tuesday, July 21, 2009

Jaip Periksa Kilang Guna Berus Babi

Jaip periksa kilang guna berus babi
Harian Metro, 28 Ogos 2001
Ahmad Fitri


PEKAN: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memandang serius penggunaan berus bulu babi oleh beberapa kilang makanan, di sini, dalam penyediaan produk masing-masing.

Oleh itu, pemeriksaan lebih teliti dan berjadual membabitkan beberapa agensi kerajaan akan terus dilakukan terhadap semua kilang yang menghasilkan produk makanan memerlukan penggunaan berus bulu babi.

Penolong Pengarah Penyelidikan dan Unit Ekonomi dan Sosial Jaip, Mohd Kahar Abd Aziz, berkata pihaknya terkilan dengan kejadian itu yang dianggap menjejaskan imej dan kesucian masyarakat Islam.

Menurutnya, bagi memastikan kejadian tidak berleluasa, Jaip akan mengadakan perbincangan lebih teliti dengan pejabat mufti bagi mencari jalan terbaik menyelesaikannya.

Katanya, keputusan berkenaan dianggap jalan terbaik bagi kedua-dua belah pihak iaitu pengusaha dan masyarakat Islam sendiri yang menjadi pengguna utama.

“Perbincangan dengan pejabat mufti itu turut menyentuh masalah pekerja Islam dan penggunaan mesin serta peralatan yang diperlukan untuk menghasilkan poruduk kilang terbabit.

“Jaip juga akan meneliti dan mengkaji di segi pengeluaran sijil dan tanda halal manakala pemeriksaan tidak menjurus kepada sudut tertentu sahaja,” katanya.

Mohd Kahar diminta mengulas kejayaan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang menemui dua berus bulu babi yang digunakan kilang membuat makanan, minggu lalu.

Penggunaan berus bulu babi disahkan Jabatan Kimia minggu lalu selepas dua contoh berus diserahkan kepada pihak berkenaan.

Kahar berkata, dalam hal ini, Jaip tidak akan mengambil tindakan terburu-buru sebaliknya membuat pertemuan secara terbaik dengan pengusaha kilang bagi menerangkan kedudukan sebenar.

“Saya percaya pengusaha kilang itu tidak tahu berus yang digunakan diperbuat dari bulu babi. Ini kerana selain menjejaskan pemasaran keluaran mereka ia juga mungkin kehilangan pekerja Melayu.

“Nasihat Jaip kepada semua pengusaha kilang makanan yang menggunakan berus supaya lebih berwaspada dalam pengunaan berus. Mereka boleh gunakan berus plastik selain mendapat nasihat mereka yang mahir,” katanya.


©New Straits Times (M) Berhad

Jakim ambil alih keluar sijil halal

PARLIMEN

ARKIB : 10/07/2009
Jakim ambil alih keluar sijil halal

KUALA LUMPUR 9 Julai - Semua tanggungjawab pengeluaran sijil Halal Malaysia yang sebelum ini dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu yang berkuat kuasa serta-merta diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Katanya, Kabinet berpendapat HDC perlu memberikan tumpuan kepada fungsi asalnya untuk membangunkan produk dan hab halal di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

''Dengan pengambilalihan tugas ini, Jakim kini bertanggungjawab mengeluarkan Sijil Halal Malaysia bagi produk tempatan dan luar negara serta menguruskan soal-soal pembayaran untuk mendapatkan sijil berkenaan.

''Jakim sebenarnya mempunyai pengalaman luas untuk menguruskan pengeluaran sijil halal ini kerana ia telah menjalankan fungsi sama sebelum peranan ini diserahkan kepada HDC pada April tahun lalu,'' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pelbagai pihak sebelum ini membantah langkah menyerahkan pengeluaran sijil berkenaan kepada HDC kerana mendakwa ia mempunyai kepentingan dalam perniagaan dan akan menyebabkan pengeluaran sijil berkenaan tidak telus.

Selaras dengan keputusan itu, Jamil Khir berkata, semua kakitangan kerajaan yang dipinjamkan kepada HDC bagi menguruskan urusan pengeluaran sijil dan membuat pemantauan akan diserap semula ke Jakim.

''Kakitangan terbabit terdiri daripada pegawai Jakim yang bertanggungjawab mengendalikan ujian secara saintifik dan Islamik serta kakitangan Kementerian Kesihatan yang telah dipinjamkan bagi membuat pemantauan," jelasnya.

Menurut beliau, semua sijil halal yang telah dikeluarkan oleh HDC sebelum ini adalah sah untuk digunakan sehingga tarikh tamat tempoh.

''Sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim akan terus menggunakan reka bentuk logo lama, sama seperti yang telah dikeluarkan oleh HDC," jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan memastikan Jakim dapat meningkatkan kualiti proses permohonan dan pengeluaran sijil halal supaya ia lebih cekap dan berkesan.

Sunday, July 19, 2009

RAMBUT MANUSIA DALAM MAKANAN











1.PENGENALAN



APA ITU L-CYSTEINE ?



Sedarkah kita bahawa produk roti yang kita makan mungkin mengandungi rambut manusia? Ia adalah dalam bentuk L-cystein, sejenis amino asid tidak perlu. Amino asid adalah bahan asas protein. Terdapat 20 jenis dan 8 daripadanya diperlukan untuk pertumbuhan manusia. Kandungan amino asid dalam protein akan menentukan kualitinya. Casein, protin susu dikatakan mengandungi kualiti tertinggi manakala kualiti protein gandum adalah lebih rendah kerana kekurangan asid amino perlu. Kebiasaannya ia ditulis pada label sebagai L-cysteine atau L-Cysteine Hydrochloride (HCL).


2. PENGGUNAAN L-CYSTEINE


Banyak kegunaan L-Cysteine dikenalpasti dalam pemprosesan makanan. Antaranya, ia dapat mengurangkan masa mengadun doh gandum dan menghentikan pengecutan kerak pizza selepas dinipiskan dan menjadikan doh tidak mudah melekat. Selain itu, l cystein digunakan sebagai komponen untuk menghasilkan bahan perisa berdaging seperti ayam dan lembu. Walaupun L-Cystein terdapat dalam pelbagai jenis makanan, ia biasanya tidak disenaraikan sebagai bahan ramuan pada label kerana ia tidak dianggap sebagai penambah makanan tetapi sebagai bantuan dalam pemprosesan.

3. SUMBER L-CYSTEINE

Bahan aditif ini boleh dihasilkan melalui dua cara ; pertama secara sintetik iaitu daripada sumber bukan organik seperti petroleum atau kedua secara langsung daripada rambut manusia. Sumber yang kedua lebih murah dan mengandungi 8 peratus asid amino semulajadi cystein.

Dewasa ini hampir 80% daripada L cysteine yang digunakan diseluruh dunia diperolehi dari China dengan menggunakan rambut manusia dan bulu ayam. Rambut manusia kaya dengan dua sebatian asdi amino iaitu L cysteine dan L-tyrosine. Terdapat sebanyak 14% L cysteine di dalam rambut manusia. Didalam proses penghasilan L cysteine, keratin daripada rambut manusia diekstrak dengan menggunakan asid hidroklorik dan air. Selepas beberapa langkah tertentu, keratin bertukar menjadi L cysteine.

Cysteine juga boleh diperoleh secara semulajadi dalam makanan yang mengandungi sulfur seperti kuning telur, lada merah, bawang putih,bawang besar, brokoli dan taugeh. Pihak kerajaan Amerika dan Eropah percaya bahawa L-Cysteine yang bersumberkan rambut atau sebaliknya adalah selamat.


4.KAJIAN TENTANG L-CYSTEINE



Menurut Dr Meyer, individu yang bertanggungjawab mengenalpasti makanan Kosher bagi Persatuan Yahudi Ortodok di Amerika, terdapat banyak sumber yang boleh diproses semula daripada manusia dan cysteine adalah salah satu daripadanya. Kebiasaannya bahan ini dijumpai dalam pewarna yis. Justeru itu, pengguna Muslim dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan penggunaan bahan. Hal demikian kerana, Islam tidak membenarkan umatnya makan makanan yang berasal daripada tubuh badan manusia seperti rambut. Sebagaimana langkah berjaga-jaga yang diambil oleh pihak Amerika dengan mengkaji bahan ramuan tambahan dalam makanan seperti makanan kosher yang ditandakan huruf “U” diatas produk sebagai bukti bahawa makanan tersebut tidak mengandungi L-Cystein. Walaubagaimanapun, sehingga hari ini masih tiada standard yang berupaya mengenalpasti kehadiran L-Cystein dalam makanan.

Menurut Richard Ratcliffe, setiausaha Eksekutif Persatuan Bahan Tambah dan Ramuan Makanan British, “L-cysteine juga mungkin terdapat dalam sejumlah besar makanan, tetapi hanya sebahagian sahaja yang dinyatakan pada label. Dalam peraturan bahan aditif di Eropah mereka telah menetapkan syarat kepada para pengilang supaya menyenaraikan dan mengelaskan bahan aditif makanan contohnya pewarna. Tetapi, L-Cysteine tidak disenaraikan sebagai ‘bahan aditif makanan’ sebaliknya dianggap sebagai bahan ‘processing aid’. Dalam kes ini, pengilang makanan sendiri yang memutuskan samada mahu menyenaraikan atau tidak l-cysteine pada label dan keputusan ini bergantung kepada berapa banyak kandungan bahan yang digunakan. Maka sudah pasti para pengilang tidak akan akan menyatakan sumber l-cysteine yang digunakan samaada daripada rambut atau sebaliknya.

Menurut Profesor Derek Burke, Pengerusi Penasihat Makanan Baru dan Pemprosesan, proses kimia yang berlaku semasa penukaran bahan rambut kepada bahan aditif telah diketahui sejak beratus tahun dan ia bukanlah suatu proses yang mudah. Bagi sesetengah pengguna, penggunaan rambut dalam makanan dilihat sebagai amalan yang bersifat kanibal. Walaubagaimanapun, daripada sudut kesihatan cysteine ialah bahan antioksida badan yang paling berkesan. Ia berupaya memusnahkan toksik dalam badan yang dikatakan dapat mempercepatkan proses penuaan.

5. PANDANGAN ISLAM TENTANG L-CYSTEINE

Menurut hukum syarak, setiap bahagian manusia adalah haram dimakan oleh umat Islam. Didalam satu wawancara dengan Mufti Negeri Perak, Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Hj Zakaria, beliau berkata setiap bahagian tubuh manusi adalah mulia dan tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya. Oleh itu, kehadiran L-cysteine dalam makanan adalah meragukan kerana besar kemungkinan diperolehi daripada rambut manusia. Memandangkan keadaan sedemikian pengguna Islam seharusnya perlu berhati-hati bila mereka memilih makanan di pasaran, terutamanaya makanan yang mungkin mengandungi L cysteine seperti pizza, roti, dan perisa makanan yang tidak manis. Ini kerana besar kemungkinan ianya diperolehi dari rambut manusia. Keadaan menjadi lebih rumit apabila bahan ini tidak disenaraikan sebagai bahan ramuan.

RUJUKAN :

Halal Haram. 2006. Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Syed Rasheeduddin Ahmed.(2001). Eating human hair by another name? http://www.albalagh.net/halal/col2.shtml.

Human Hair Used as Food ingredient!!! http://www.keratin.com/ar/ar010.shtml